Berita Utama

Lagi permohonan cabar kuasa Mahkamah Syariah?

Isytihar kuasa Mahkamah Syariah buat perintah menghina mahkamah bercanggah Perlembagaan

BANGI, 19 Rejab 1442H, Rabu – Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mendedahkan bahawa terdapatkan satu lagi permohonan mencabar kuasa Mahkamah Syariah difailkan.

Beliau dalam satu kenyataan memberitahu, terdapat cabaran dibuat di Mahkamah Sivil untuk mengisytiharkan kuasa Mahkamah Syariah membuat perintah menghina mahkamah adalah bercanggah Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan.

Zainul Rijal berkata, tindakan itu mengatakan hanya Mahkamah Sivil sahaja yang boleh membuat perintah penghinaan mahkamah.

“Saya tidak bersetuju dengan hujah mereka ini, tetapi jika cabaran ini dibenarkan Mahkamah Syariah tidak akan berupaya mengambil tindakan terhadap mana-mana orang yang menghina Mahkamah Syariah itu sendiri.

“Jadi apa yang Mahkamah Syariah boleh buat? Biarkan sahaja mana-mana orang menghina mahkamah? Tiada gigilah Mahkamah Syariah kalau ia benar-benar terjadi,” katanya.

Pendedahan Zainul Rijal itu mendapat respon rata-rata pengguna media sosial dan pengikutnya yang bimbang dengan kedudukan Mahkamah Syariah ketika ini.

“Allahu, semoga Allah pelihara kedudukan Mahkamah Syariah. Satu-satu dicabar, sedih rasa,” tulis Muhammad Ridzuan EL-Muallim.

“Cabaran demi cabaran. Ya Allah selamatkan negara ini,” kata Ahmad Nawawi Yaakob.

Sebelum ini, Zainul Rijal pernah mendedahkan bahawa satu lagi peruntukan Enakmen Islam Selangor sedang dicabar dan menunggu perbicaraan selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah tidak berperlembagaan.

Mahkamah Persekutuan dijangka mendengar cabaran keabsahan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor difailkan Sisters In Islam (SIS) tahun lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button