Berita Utama

Hukuman mati sahaja setimpal untuk ‘tebus’ salah pemandu mabuk

Kerajaan perlu ambil langkah drastik sekat lesen arak: Presiden ISMA

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 19 Rejab 1442H, Rabu – Kerajaan perlu melihat semula kadar hukuman yang dikenakan ke atas pemandu mabuk, khususnya membabitkan kematian pengguna jalan raya lain.

Biarpun pindaan Akta Pengangkutan Jalan sudah dikuatkuasakan bagi pemandu bawah pengaruh alkohol dan dadah, namun kadar itu masih belum setimpal untuk kemalangan yang membabitkan kematian.

Sehubungan itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya mengulangi gesaannya supaya kerajaan melaksanakan hukuman mati ke atas pesalah jalan raya atau pemandu yang mengakibatkan kemalangan maut.

“Gesaan ini sudah berulang kali disuarakan, bahkan oleh ramai pihak dan rakyat sendiri.

“Hanya melalui hukuman mati sahaja, dianggap yang paling setimpal bagi pesalah atau pemandu mabuk yang menyebabkan kehilangan nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas insiden seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu seorang lelaki disyaki mabuk di Jalan Sungai Lembing, Kuantan.

Dalam kejadian pada Isnin lalu, Muhammad Akmal Hakim Misnan, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Mangsa dilaporkan dalam perjalanan dari membaiki motosikala di rumah kawannya di Indera Mahkota menghala ke rumah ahli keluarganya di Kampung Padang.

Kesal kerana insiden seumpama itu masih berulang, Aminuddin berkata, kerajaan perlu mengambil langkah drastik dengan menyekat lesen arak.

“Mana-mana yang ada kes, kerajaan tarik balik lesen mereka. Malah, bertindak tegas pada mana-mana kelab malam atau premis yang menjual arak tanpa lesen.

“Insiden ini akan berterusan dan mungkin mengancam lebih banyak nyawa jika tiada tindakan drastik dibuat secara menyeluruh,” katanya.

Pindaan Akta Pengangkutan Jalan yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah yang memandu dalam keadaan mabuk dan di bawah pengaruh dadah dikuat kuasa pada Oktober lalu.

Pindaan itu membabitkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan berkaitan kadar denda, tempoh penjara dan penggantungan lesen memandu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button