Jemaah Menteri nasihat Agong tangguh Parlimen
Ada alasan perundangan, sains, data: Takiyuddin

BANGI, 19 Rejab 1442H, Rabu – Perdana Menteri bukan individu memutuskan untuk tidak mengadakan persidangan Parlimen ketika tempoh darurat sehingga 1 Ogos depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu sebaliknya dilakukan oleh Jemaah Menteri melalui kaedah menasihati Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi di sini, Kabinet apabila membuat nasihat, kenapa kita menangguhkan bukannya menggantung persidangan Parlimen kerana banyak alasan.
“Ada alasan perundangan dan ada alasan dari segi sains dan data,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Terdahulu, Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berpandangan Parlimen boleh bersidang ketika tempoh darurat, pada suatu tarikh difikirkan sesuai olehnya atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Indera, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, keputusan Agong itu dibuat selepas menerima menghadap Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara pada 24 Februari lalu.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, tidak timbul isu kerajaan menggantung Parlimen, disebabkan perintah darurat hanya dilaksanakan dalam tempoh enam bulan 20 hari sehingga 1 Ogos ini.
Beliau berkata, Perdana Menteri telah memberi jaminan bahawa persidangan Parlimen akan diadakan sebaik sahaja tamat tempoh berkenaan.
“Semasa Parlimen tidak bersidang, Ahli-Ahli Parlimen boleh beri tumpuan perangi COVID-19,” jelasnya.
Mengikut alasan perundangan, jelasnya, persidangan Parlimen ditangguhkan disebabkan Perlembagaan Persekutuan menyatakan dalam tempoh darurat, Yang di-Pertuan Agong boleh membuat satu ordinan di bawah Perkara 150 (2B).
“Jadi, apabila Yang di-Pertuan Agong sudah boleh buat undang-undang, maka keperluan untuk Parlimen bersidang untuk buat undang-undang tidak ada,” katanya.
Tambahnya, persidangan Parlimen juga ditangguhkan kerana tumpuan dan fokus kerajaan ketika ini adalah memerangi COVID-19, termasuk pembabitan Ahli-Ahli Parlimen.
Beliau berkata, Ahli Parlimen adalah petugas barisan hadapan atau ‘frontliner’ yang bertugas, bagi memastikan rakyat di kawasan mereka dapat bekerjasama dalam memerangi COVID-19.
“Jadi, fokus kita adalah COVID-19, dan kita boleh tangguh dahulu persidangan Parlimen,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan amat serius dalam membendung COVID-19 kepada semua pihak termasuk Ahli-Ahli Parlimen.
Menurut fakta, beliau berkata, jumlah Ahli Parlimen ketika ini adalah seramai 220, tidak termasuk dua orang Ahli Parlimen dari Batu Sapi dan Gerik yang telah meninggal dunia.
Daripada jumlah itu, katanya, 77 daripadanya berumur dalam lingkungan 61 hingga 69 tahun, manakala 19 daripadanya berusia 70 hingga 79 tahun serta empat orang yang lain berusia 80 dan ke atas.
“Hampir sebahagian Ahli Parlimen adalah kumpulan berisiko. Kita tidak mahu Ahli-Ahli Parlimen terdedah kepada perkara ini (COVID-19) sebab kita dalam ‘confined area’ atau kawasan tertutup.
“Bila Ahli Parlimen bersidang, sekurang-kurangnya seorang Ahli Parlimen mempunyai tiga orang pegawai. Kemudian, pegawai-pegawai kerajaan juga kena pergi,” katanya.