Berita Utama

Kesatuan mahu SPRM siasat kelulusan usaha sama antara Destini, KTMB

Pegangan saham KTMB dalam ETSB hanya 30 peratus, tapi Desini miliki 70 peratus

KUALA LUMPUR, 19 Rejab 1442H, Rabu – Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) hari ini membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kelulusan usaha sama (JV) antara Destini Bhd dan KTMB.

Presiden KPPKTMB, Abdul Razak Md Hassan berkata, aduan itu susulan wujud keraguan munasabah berdasarkan saham yang dipegang KTMB dalam syarikat JV itu iaitu ET Sdn Bhd (ETSB) hanya sebanyak 30 peratus, manakala Destini Bhd dengan pegangan saham sebanyak 70 peratus.

“Pihak kesatuan berasa bimbang kemungkinan wujud salah laku dari sudut pecah amanah, salah guna kuasa, tidak berintergriti atau mungkin ada unsur-unsur rasuah.

“Aduan dibuat berdasarkan SPRM mempunyai bidangkuasa untuk melakukan siasatan, boleh menyiasat sama ada wujud atau tidak salah laku dalam membuat keputusan kelulusan ‘joint venture’ antara KTMB dan Destini Bhd. 

“Sekiranya wujud salah laku, maka tindakan berdasarkan undang-undang hendaklah diambil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rabu lalu, Bernama melaporkan bahawa Destini Bhd memeterai perjanjian dengan KTMB untuk mewujudkan syarikat JV, ET Sdn Bhd (ETSB), bagi mengembangkan keupayaan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dalam sektor rel.

Destini berkata, kedua-dua pihak telah menandatangani perjanjian langganan, JV dan pemegang saham.

Ia akan menyaksikan Destini mendapat 70 peratus kepentingan dalam ETSB, anak syarikat milik penuh tidak langsung KTMB, melalui anak syarikatnya yang dimiliki 100 peratus, Destini Rail Sdn Bhd. 

Baki pegangan saham 30 peratus akan dipegang oleh KTMB melalui anak syarikat milik penuhnya, KTMB Technics Sdn Bhd.

Pada 2016, Destini memperluaskan skop perkhidmatannya dalam sektor rel melalui penyediaan 35 troli motor kepada KTMB.

Kumpulan itu terus berusaha untuk mengukuhkan kedudukannya dalam sektor rel dengan memperluaskan kepakaran dan skop perkhidmatannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button