Berita UtamaDunia

Korea Selatan siasat kematian 2 penerima suntikan AstraZeneca

207 orang daripada jumlah divaksin mengalami reaksi negatif

SEOUL, 19 Rejab 1442H, Rabu – Pihak berkuasa Korea Selatan sedang melakukan siasatan berhubung kematian dua orang yang dipercayai meninggal dunia setelah beberapa hari menerima suntikan vaksin COVID-19, AstraZeneca.

Syarikat farmaseutikal AstraZeneca yang mengambil maklum akan siasatan dilakukan oleh  Agensi Pencegahan dan Kawalan Penyakit Korea (KDCA) itu berkata, keselamatan vaksin telah banyak kali dikaji dalam ujian klinikal, selain data yang turut mengesahkan bahawa vaksin berkenaan berfungsi dengan baik.

“KDCA sedang melakukan tinjuan epidemiologi dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengesahkan jika ada sebarang hubung kait dengan inokulasi,” kata Pengarah KDCA Jeong Eun-kyeong dalam satu taklimat.

Bagaimanapun, beliau masih belum mengesahkan jika terdapat hubungan kausal dengan vaksin.

Pada masa sama, Eun-kyeong berkata, seorang warga emas berusia 63 tahun yang ditempatkan di pusat penjagaan orang tua yang turut menghidapi penyakit serebrovaskular, telah mengalami beberapa gejala termasuk demam panas setelah diberi vaksin empat hari lalu.

Mangsa kemudiannya dipindahkan ke hospital pada Selasa, namun meninggal dunia setelah menunjukkan gejala keracunan darah dan radang paru-paru, lapor agensi berita Yonhap.

Sementara itu, seorang lagi pesakit berusia dalam lingkungan 50-an yang turut menghidapi penyakit jantung dan diabetes telah meninggal dunia pada Rabu, setelah beberapa kali mengalami serangan jantung.

Beliau turut menerima suntikan vaksin sehari sebelum hari kematiannya.

Eun-kyeong berkata, meskipun masih belum terdapat kes kematian akibat suntikan vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh AstraZeneca atau Pfizer/ Biontech, namun beliau menggesa orang ramai mengambil gambar ketika mereka berada dalam keadaan sihat.

Selain itu, KDCA berkata, setakat ini, seramai 207 orang mengalami reaksi negatif termasuk tiga daripadanya mengalami alahan teruk, yang dikenali sebagai anafilaksis setelah menerima suntikan vaksin.

Korea Selatan mula memvaksinasi penduduknya minggu lalu.

Menjelang lewat malam Selasa, seramai 85,904 orang telah menerima dos pertama vaksin AstraZeneca, manakala 1,524 lagi diberi suntikan vaksin Pfizer.

Korea Selatan melaporkan 444 kes baharu COVID-19 pada Selasa berbanding 344 kes pada Isnin.

Angka berkenaan menjadikan jumlah jangkitan di negara itu setakat semalam sebanyak 90,816 kes, dengan 1,612 kematian.

Media sebelum ini melaporkan bahawa pampasan lebih daripada 430 juta won (AS$383,500) akan diberi untuk kematian akibat vaksin COVID-19. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button