Lagi tindakan roboh rumah penduduk Palestin oleh Zionis
Beri alasan sama, rumah penduduk Palestin dibina tanpa permit

BAITULMAQDIS, 19 Rejab 1442H, Rabu – Israel bertindak merobohkan sebuah rumah milik penduduk Palestin di perkampungan Shufat dekat Baitulmaqdis Timur pada pagi tadi.
Media tempatan melaporkan, bahawa polis Israel turut berada di tempat kejadian bagi mengawal aktiviti pemusnahan itu.
Dalam kejadian itu, dua jentolak telah merobohkan sebuah rumah dua tingkat milik keluarga mangsa, Abu Mayala dengan alasan kononnya ia dibina tanpa permit.
Terdahulu, Israel pada minggu lalu turut merobohkan sebuah rumah yang masih dalam pembinaan dan dua gudang pertanian di selatan Tebing Barat yang diduduki.
Datuk Bandar Taqou di tenggara Bethlehem, Tayseer Abu Miqreh berkata, Israel menyerang utara wilayah itu selain merobohkan rumah seluas 160 meter persegi, yang masih dalam fasa pembinaan dan dimiliki oleh penduduk tempatan.
Dengan menggunakan alasan sama iaitu penempatan dibina tanpa permit, Israel mengambil peluang merobohkan rumah milik penduduk Palestin secara berkala, bagi menyekat pembangunan Palestin di Baitulmaqdis yang diduduki.
Pada masa sama, Israel bertindak membina puluhan ribu unit rumah di penempatan haram di Baitulmaqdis Timur untuk penduduk Yahudi. -Agensi