Berita Utama

Potong babi di tempat pemotong ayam, 6 laporan polis diterima

Semua laporan dirujuk kepada JAIS, Jakim, pejabat agama untuk siasatan

BANTING, 19 Rejab 1442H, Rabu – Enam laporan polis diterima susulan pekerja di sebuah pasar raya, di sini dipercayai memotong daging babi di tempat pemotong daging ayam hingga mencetuskan rasa kurang senang pengguna beragama Islam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Azizan Tukiman berkata, pihaknya menerima laporan itu sejak Selasa lalu dan dibuat oleh beberapa individu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Semua laporan berkenaan itu sudah dirujuk kepada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan siasatan dijalankan oleh mereka.

“Pihak polis setakat ini hanya memantau di premis berkenaan dari sudut keselamatan, manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pejabat agama akan buat siasatan di premis,” katanya seperti dilapor Harian Metro, hari ini.

Baru-baru ini tular di media sosial dakwaan seorang pekerja di pasar raya berkenaan memotong daging babi di tempat memotong daging ayam di premis terbabit.

Isu berkenaan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen sehingga pihak pengurusan pasar raya terbabit turut mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

Susulan daripada isu yang viral itu, pihak pengurusan pasar raya memohon maaf atas kesilapan dari pihak mereka.

Pihak pengurusan pasar raya terbabit memaklumkan segala peralatan digunakan sudah digantikan baharu, kawasan pemotongan juga disamak selain pekerja berkenaan sudah diberhentikan kerja serta-merta.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button