Berita UtamaIstimewa

Sekadar isi tempat kosong, Zahid tiada ‘material’ PM ke-9

Visi tidak jelas antara sebab Presiden UMNO tak boleh jadi pemimpin nombor 1 negara

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 19 Rejab 1442H, Rabu – Acap kali kedengaran kedudukan Presiden sesebuah parti politik akan menempatkan seseorang itu sebagai calon Perdana Menteri menjelang pilihan raya umum.

Suasana sedemikian adalah sesuatu yang ‘tradisi’ atau normal sejak dari zaman dahulu sehingga sekarang.

Ia berkait rapat dengan ketokohan dan populariti dimiliki mogul berkenaan, yang sedikit sebanyak mampu mempengaruhi keputusan akhir pilihan raya.

Sebagai contoh, Perikatan Nasional (PN) akan mempertaruhkan kredibiliti milik Tan Sri Muhyiddin Yassin, sementara Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Barisan Nasional (BN) pula Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Namun begitu, menerusi satu undian yang dijalankan sebuah akhbar, Ahmad Zahid hanya menerima satu peratus undian yang menyokong beliau sebagai calon Perdana Menteri ke-9.

Malah, jumlah sokongan yang diterimanya jauh ketinggalan di belakang Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan – yang menerima 12 peratus undian.

Mengulas perbezaan jumlah sokongan itu, Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, nilai kepimpinan yang ada pada Ahmad Zahid belum melayakkan beliau menjadi ‘pemimpin nombor satu’ negara.

“Ini kerana, Presiden UMNO itu seolah-olah tiada visi atau tidak mempunyai visi yang jelas untuk parti, apatah lagi bagi memimpin negara.

“Maka, adakah beliau boleh diharapkan untuk menjadi calon Perdana Menteri walaupun mempunyai latar belakang yang bagus,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, Ahmad Zahid juga gagal memulihkan reputasi UMNO dan BN yang ‘tumbang’ akibat terpalit dengan pelbagai kes mahkamah, termasuk dirinya sendiri.

“Seolah-olahnya beliau hanya mengisi kekosongan Presiden yang ditinggalkan Najib, tanpa membaiki semula kerosakan di dalam parti.

“Sebab itu, tiada transformasi baharu pun di dalam UMNO sehingga sekarang,” katanya.

Melalui undian dalam talian bertajuk ‘Siapakah Calon PM Pilihan Anda’ itu, Ahmad Zahid hanya menerima 268 undi daripada 34,659 orang, sementara Mohamad Hasan (4,033 undi).

Bagaimanapun, undian berkenaan dimonopoli oleh bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak iaitu 39 peratus (13,602 undi), diikuti Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (8,628 undi) dan Anwar (5,259 undi).

Muhyiddin pula berada di bawah Mohamad dengan hanya enam peratus (1,958 undi), diikuti Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal (499 undi) dan Tun Dr Mahathir Mohamad (295 undi).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button