Berita Utama

Struktur tapak pembinaan lebuh raya runtuh, hempap van 5 penumpang

Jabatan bomba maklumkan usaha menyelamat sedang dilakukan

KUALA LUMPUR, 19 Rejab 1442H, Rabu – Sebahagian struktur tapak pembinaan sebuah lebuh raya berhampiran Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Desa Tun Razak di sini runtuh dan menghempap sebuah van yang dinaiki lima individu.

Insiden pada kira-kira 6 petang itu melibatkan sebuah lori membawa jengkaut yang telah melanggar binaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang terletak berhadapan Terminal Bersepadu Selatan.

“Akibat kemalangan itu, runtuhan binaan telah jatuh ke atas sebuah van kilang yang datang dari arah pusat bandar yang dinaiki lima individu,” menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata ketika ini, usaha menyelamat masih giat dijalankan.

“Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur memaklumkan runtuhan itu telah menghempap sebuah van kilang yang di dalamnya terdapat lima mangsa yang melewati struktur binaan berkenaan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button