Pendapat

Tragedi 3 Mac 1924: Ulang tahun ke-97 runtuhnya Khilafah Uthmaniyah

6 tahun setelah kemangkatan Sultan Abdul Hamid II, benteng terakhir umat Islam seluruh dunia dihancurkan

SATU malapetaka yang besar kepada umat selepas pemusnahan kota Baghdad akibat serangan Monggol dan kejatuhan pemerintahan Islam di Andalusia (Sepanyol).

Tulisan saya mengenai 24 jam terakhir kehidupan Sultan Abdul Hamid II boleh dibaca di pautan berikut: https://www.facebook.com/mohd.luttfi/posts/3959999624024018

Sebelum kita mengkaji lebih mendalam tentang Khilafah Islamiyah Turki Uthmaniyah ini, kita perlu membetulkan satu kekeliruan dan juga mungkin salah faham tentang kewujudan Khilafah Turki Uthmaniyah ini.

Iaitu, ia bukan satu zaman pemerintahan yang wujud secara terpencil atau terpisah dari mata rantai zaman-zaman pemerintahan umat Islam terdahulu.

Khilafah Islamiyah ini bermula sejak dari kewafatan Nabi Muhammad SAW lagi, berawal dengan zaman Khulafa’ Ar Rasyidin, diikuti dengan pemerintahan Bani Umayyah, Abbasiyah dan seterusnya zaman kerajaan Ayyubiyah di Mesir, pemerintahan Islam di Sepanyol, Dinasti Saljuk Rum dan esterusnya Mamalik di Mesir hingga berakhir dengan zaman Khilafah Uthmaniyah di Turki.

Satu perbezaan ketara ialah Khilafah Uthmaniyah Turki merupakan satu pemerintahan yang merangkumi bahagian dunia yang paling besar dan paling panjang dalam sejarah Islam. Ia bermula pada tahun 1299 dan berakhir pada tahun 1924.

Tempoh yang sangat panjang sebenarnya – 625 tahun, meliputi keluasan 23 juta km persegi dan merangkumi lebih dari 30 buah negara!

Maka bukanlah satu “pekerjaan” yang mudah bagi sesiapa sahaja yang meminati sejarah Khilafah Islamiyah Uthmaniyah ini untuk membuat kajian tentang jatuh bangunnya sebuah kerajaan yang sangat besar, melibatkan ratusan tahun yang penuh dengan peristiwa dan episod-episod sejarah.

Penglibatan orang-orang Turki di dalam urusan pemerintahan juga telah bermula sejak zaman pemerintahan Abbasiyyah lagi di bawah Khalifah Al Ma’mun sebagai pegawai-pegawai politik Khilafah, kemudian di zaman pemerintahan kerajaan Tolun di Mesir, Khwarizmiyah di Turkistan, kerajaan Ikhsidiyah, Saljuk dan akhirnya Mamalik sebelum pembentukan kerajaan Uhmaniyah sendiri.

Topik Uthmaniyah ini mempunyai spectrum dan dimensi sejarah yang paling rumit untuk dirungkaikan oleh para pengkaji sejarah memandangkan jarak masa yang sangat panjang (625 tahun dicampur dengan tambahan 97 tahun lagi dari tarikh keruntuhannya pada tahun 1924 hingga hari ini (97 tahun). Sumber pengkajian sejarahnya pula berselerak di celah-celah timbunan ribuan buku dalam banyak bahasa, termasuk bahasa Turki lama, Arab, Latin dan sebagainya.

Oleh kerana itu, artikel ini hanyalah secebis pengenalan tentang satu sisi dari sejarahnya yang istimewa dan menarik.

Pembaca digalakkan membuat pembacaan sendiri dan juga melalui sedikit bahan-bahan rujukan yang disenaraikan di hujung artikel saya. Saya juga cuba menambah kepada penulisan ini melalui beberapa lampiran berbentuk grafik, gambar dan petikan-petikan video.

Latar Belakang Sejarah

Kerajaan Uthmaniyah bermula dari kebangkitan satu kabilah bernama Kayi yang diketuai oleh pemimpin mereka bernama Ertughrul. Beliau mewarisan kepimpinan kabilah yang dianggotai beratus-ratus keluarga setelah kematian ayah beliau bernama Sulaiman Syah.

Di bawah kepimpinan Ertughrul, kabilah Kayi ini menempa nama apabila menjadi ancaman kepada tentera-tentera Mongol dan Bizantium yang ketika itu sedang berperang dengan Dinasti Saljuk.

Setelah kematian Ertughrul, kepimpinan kabilah yang semakin besar ini diambil alih oleh anaknya bernama Uthman dan melalui Uthmanlah bibit-bibit pembentukan sebuah pemerintahan (daulah) mula dirumuskan. Untuk tujuan tersebut, Uthman mula menyeru kepada persatuan kabilah-kabilah Turki (yang masing-masing mempunyai kedaulatan tersendiri) untuk bergabung dengan beliau di bawah satu bendera (sanjak) untuk mewakili semua bangsa Turki.

Pada ketika ini, Dinasti Saljuk sedang berada di hujung pemerintahannya dan kabilah-kabilah Turki masih lagi bernaung di bawah pemerintahan Dinasti Saljuk, yang masih diiktiraf sebagai kerajaan yang berdaulat.

Uthman meneruskan lagi cita-cita untuk membentuk sebuah negara dengan penaklukan beberapa kubu/kota pertahanan Kristian sebagai satu strategi mengukuhkan kekuatannya. Diringkaskan cerita, konsep penubuhan negara yang tunggal yang mewakili dan menaungi semua bangsa dan kabilah Turki mula menjelma di zaman pemerintahan anak lelaki Uthman iaitu Orhan.

Ketika mana Baghdad diserang dan dihancurkan oleh tentera Mongol pada tahun 1258, Khilafah Abbasiyyah masih lagi berpusat di Qahirah, Mesir. Khalifah hanyalah satu simbol sahaja kepada kepimpinan dan kesatuan umat Islam di mana kuasa sebenar adalah terletak kepada para Sultan yang setia kepada Khalifah.

Antara pembukaan-pembukaan yang besar di zaman Uthmaniyah ialah penaklukan/pembukaan Kota Konstantinople (Istanbul) oleh Sultan Muhammad II yang lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad Al Fatih pada tahun 1453.

Sultan Sulaiman membuka Yugoslavia pada tahun 1521, membuka Hungary paa tahun 1526 dan hampir membuka Vienna pada tahun 1529, tetapi kepungan terhadap kota ini tidak diteruskan kerana musim sejuk.

(*Apabila Mesir dibuka/ditawan oleh Sultan Uthmaniyyah Kesembilan iaitu Sultan Salim I, gelaran Khalifah mula diwarisi oleh para Sultan Uthmaniyyah bermula tahun 1512).

Punca-punca Kejatuhan Uthmaniyah Turki

Terdapat 5 sebab utama bagaimana Khilafah Uthmaniyah yang sangat luas wilayah naungannya dapat dijatuhkan atau mengalami keruntuhan.

PERTAMA – Zaman Kelemahan yang membawa kepada kejatuhannya, bermula dari tahun 1757 hingga 1924.

Zaman ini diwarnai dengan 3 poin utama khususnya dalam kurun ke 15:
1. Tiada perluasan baru
2. Tiada kemajuan ilmu dan penciptaan baru
3. Eropah/Barat mendahului dari segi kemajuan material.
(Catitan: Ketiga-tiga poin di atas memerlukan penjelasan yang lebih panjang, tetapi tidak dapat dibuat dalam penulian ini. InsyaAllah bila berkesempatan, akan diulas lebih mendalam).

KEDUA – Perancangan Yahudi.
Gerakan untuk menjatuhkan pemerintahan Uthaniyah Turki dimulakan oleh Syabtai Zivi, pengasas kepada ajaran/mazhab aqidah Yahudi Dunamah (yang kembali, balik atau murtad).

Syabtai muncul bersama ajaran ini pada abad ke 17 Masihi dan mengaku dirinya sebagai Al Masih Al Muntazar yang akan muncul pada tahun 1648 untuk mengetuai orang-orang Yahudi untuk memimpin dunia. Pusat gerakan mereka adalah di Palestin dan Al Quds (Baitul Maqdis) akan dijadikan sebagai ibu kota pemerintahan Yahudi yang mereka impikan.

Perancangan dan strategii licik ini beroperasi di Salonika, Greece, yang merupakan tumpuan penduduk-penduduk Yahudi ketika itu. Gerakan ini merebak ke hampir seluruh benua Eropah seperti Poland, Jerman, Belanda, Inggeris,Itali, Afrika Utara dan beberapa wilayah lain.

Syabtai dan para pengikutnya sebenarnya gigih berkerja untuk menjayakan agenda dan kepentingan Zionis secara rahsia tetapi menzahirkan keIslaman mereka supaya tidak dicurigai.

Mereka sangat aktif menyebarkan ideology Freemason termasuk menyusup ke dalam Jamiyyah Ittihad Wa Taraki (Organisasi Persatuan Dan Pembangunan). Ramai anggota pertubuhan ini turut terlibat dalam aktiviti-aktiviti Freemason ini.

Sultan Abdul Hamid II sangat menyedri tentang kewujudan dan muslihat puak-puak Yahudi Dunamah dan Freemason ini.

Justeru kedua-dua kumpulan ini saling berkerjasama untuk menjatuhkan Sultn Abdul Hamid II melalui kalimat-kalimat kebebasan, kemerdekaan, demokrasi dan penyingkiran Sultan Abdul Hamid yang digelar sebagai Diktator.

Orang-orang Yahudi Dunamah ini dianggap sebagai pintu pertama dan menjadi asas kepada gerakan Yahudi Antarabangsa.

KETIGA: Penjajahan dan perluasan kuasa Barat.

Satu – Sepanyol dan Belanda telah menjelajah ke Timur Jauh. Muncul England, Perancis, Russia (anggap Ortodok semuanya bawah Rusia) dan lain-lain.

Dua – Penjajahan di Asia Tenggara dan Afrika

Tiga – Peranan Muhammad Ali Pasya. Muhammad Ali Pasha yang berasal dari Albania merupakan panglia tentera yang kemudiannya dilantik menjadi gabenor kerajaan Uthmaniyah dan akhirnya menjadi pemerintah Mesir dari tahun 1805 hingga 1848.

Pada tahun 1831, Muhammad Ali Pasha melancarkan perang terhadap Sultan, menakluki Syria, menyeberang masuk ke bumi Turki dan secara terus dan mula mengancam kota IstambulBeliau mengulangi lagi tindakannya terhadap kerajan Turki Uthmaniyah pada tahun 1840. Beliau telah mengalahkan tentera Uthmaniyah dan membukan jalan untuk penaklukan kota Istambul.

Beliau sebenarnya telah berkerjasama dengan pihak British dan membenarkan negara itu membuka konsulat Inggeris di Palestin.

KEEMPAT: Kemunculan Idea Negara Yahudi.

(1) – Mazhab Protestant (Yahudi masuk Kristian) 1789 Masihi, beriman dengan Kitab Perjanjian Lama (Old Testament) dan usulnya negara khas untuk penganut Yahudi di Palestin sebagai syarat turunnya Nabi ‘Isa.

(2) Strategi Napoleon Bornaparte. Dalam bulan Julai 1798, setelah mengalahkan tentera Mamalik di Mesir, pemimpin tertinggi tentera Perancis Napoleon Bornaparte telah berjaya menawan Qahirah dan Iskandariah. Setelah beberapa lama bulan tinggal di Qahirah, yakni dalam bulan Februari 1799, Napoleon mengalahkan tentera Turki Uthmaniyah di Al Arish, dikuti dengan kemenangan ke atas Gaza dan Jaffa dan pada 20 Mac 1799.

Oleh kerana kepungan ke atas kota Akka memakan masa hampir sebulan, Napoleon cuba mendapatkan sokongan orang-orang Yahudi di Palestin untuk melawan tentera British. Di sinilah beliau memberi janji kepada orang-orang Yahudi dengan satu perisytiharan yang antara lain menjemput semua orang Yahudi dari Asia dan Afrika untuk bergabung di bawah bendera kepimpinan beliau dengan tujuan untuk menegakkan kembali pemerintahan Jerusalem lama di Palestin.

KELIMA: Detik-Detik Akhir Khilafah Uthmaniyah:

Pertama: Kemunculan Jamiyah Ittihad Wa Taraki (Organisasi Persatuan Dan Pembangunan). Organisasi ini banyak dipengaruhi oleh idea-idea Freemason yang dipelopori oleh orang-orang Yahudi Dunamah. Percubaan pemimpin Zionis bernama Theodore Hertzl untuk meminta tanah bagi orang-orang Yahudi di Palestin (dengan tawaran janji untuk melunaskan semua hutang luar kerajan Uthmaniyah) telah ditolak mentah-mentah oleh Sultan Abdul Hamid II. Bagaimanapun, puak Zionis tidak tinggal diam.

Mereka melancarkan Gerakan Freemason (melalui Yahudi Dunamah) dan cuba mempengaruhi sebahagian rakyat Turki yang berpengaruh.

Gerakan Freemason mempunyai hubungan yang sangat erat dengan anggota-anggota Organisasi Persatuan Dan Pembangunan yang berkembang pesat di Salonika. Organisasi ini yang juga dikenali sebagai Turki Muda (Young Turks) mempunyai hbungan rapat dengan pihak tentera. Ramai juga anggota Turki Muda ini terdiri dari orang-orang Yahudi di Salonika.

Untuk mendapat dana, puak Yahudi Dunamah (yang berpura-pura masuk Islam) membantu mereka.
Kumpulan inilah yang kemudiannya berperanan besar untuk menyingkirkan Sultan Abdul hamid dari jawatannya sebagai Khalifah.

(b) Pemecatan Sultan Abdul Hamid II pada 1909 dengan kehadiran Emanuel Qarassu (Yahudi) dlm majlis rasmi khilafah

(c) Turki terheret ke dalam Perang Dunia Pertama dan bersekutu dengan Jerman. Bagaimanapun, kerajan Uthmaniyah kalah di dalam peperangan ini dan terpaksa akur dengan pembahagian wilayahnya kepada Barat/Eropah.

Di sinilah kita dapat melihat kelickan dan nafsu meluap-luap dari kuasa-kuasa besar untk menjajah, merompak dan memperhambakan dunia Islam.

Perjanjian Sykes-Picot yang bertarikh Mei 1916 merupakan persetujuan rahsia yan diperbut semasa Perang Dunia Pertama oleh Inggeris dan Perancis (dengan persetujuan Rusia dan Itali) untuk membahagi-bahagikan empayar Turki Uthmaniyah Turki mengikut bidang pengaruh dan kekuasaan masing-masing.

Perjanjian ini mengakibatkan wilayah-wilayah penguasaan Turki seperti Syria, Iraq, Lebanon dan Palestin kepada beberapa jajahan di bawah kawalan dan pentadbiran Perancis dan Inggeris. Hal iniberlaku kemudiannya apabila Turki mengalami kekalahan di dalam Perang Dunia Pertama pada tahun 1918.

Peristiharan Balfour bertarikh 2 November 1917 pula merupakan kenyataan rasmi dasar kerajaan British yang menyokong penubuhan negara orang Yahudi di Palestin dengan syarat tidak merugikan hak-hak sivil dan agama masyarakat bukan Yahudi di Palestin atau hak-hak dan status yang dinikmati oleh bangsa Yahudi di negara lain.

Deklarasi ini dibuat melalui surat daripada Setiausaha Luar British Arthur James Balfour kepada pemimpin Yahudi British Lord Rothschild untuk dikirimkan kepada Persekutuan Zionis iaitu sebuah organisasi zionis persendirian.

Surat ini menggambarkan kedudukan yang diambil oleh Kabinet British seperti yang dipersetujui semasa mesyuarat pada 31 Oktober 1917. Ia juga menyatakan deklarasi ini sebagai isyarat “simpati kepada aspirasi Zionis Yahudi.”

Deklarasi Balfour kemudian dimasukkan ke dalam Perjanjian Damai Sèvres dengan Turki dan Mandat British Palestin.
(d) Kamal Atarturk mengisytiharkan pembubaran Khilafah dan kemunculan Turki Moden yang sekular.

Ekoran dari kekalahan tentera Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama, tentera British mula memasuki Istanbul. Mustafa Kamal yang ditugaskan untuk menghalang kemasukan ini bagaimanapun mempengaruhi masyarakat awam untuk memberontak terhadap Khalifah di Istanbul.

Pada 19 Mac 1920, Mustafa Kamal telah mempengaruhi Majlis Nasional untuk membentuk negara baru iaitu negara Nasional Turki. Kekalahan Tentera Bersekutu yang diikuti gencatan bersenjata dan rundingan damai pada 3 -11 Oktober 1922 semakin menguatkan kedudukan Mustafa Kamal. Pada 1 November 1922, Majlis Nasional telah meluluskan satu undang-undang yang memisahkan jawatan Sultan dari Khilafah. British telah mengadakan rundingan dengan Mustafa Kamal dan satu perjanjian ditandatangani pada 24 Julai 1923.

Seterusnya pada 3 Mac 1924, Majlis Nasional membuat keputusan menghapuskan jawatan Khalifah dan mengisytiharkan Turki sebagai sebuah repablik.
(e) Tindakan Susulan Setelah Khilafah Dihapuskan.

Setelah Turki diisytiharkan menjadi sebuah Repablik, Khalifah ketika itu Sultan Abdul Majid II dihalau keluar negeri, dikuti dengan penhapusan segala unsur Islam dalam masyarakat.

Masjid-masjid ditutup dan diambilalih, penggunaan Bahasa Arab, tulisan Arab dan pakaian Muslim dilarang, Mahkamah Syari’ah dilenyapkan, azan dikumandangkan dalam Bahasa Turki dan para wanita Muslimah dilarang menutup aurat dan Turki semakin kencang mengikuti budaya sekular dan liberal.

Maka berakhirlah riwayat dan nyawa pemerintahan Khilafah yang bertahan selama lebih 600 tahun yang menjadikan Islam sebagai akar tunjang kewujudannya..

IBRAH DAN PENGAJARAN:

Apakah yang kita dapat pelajari dari sejarah gemilang Khilafah Uthmaniyah Turki ini dan apakah ibrah yang kita dapat petik dari episode kejatuhannya?
Pertama: Memahami tentang realiti pertembungan tamadun dunia – antara Islam dan Barat/Eropah, Sejarah pertembungan tamadun, falsafah dan sistem hidup ini memang boleh diperhatikan dengan jelas sekali dari perjalanan sejarah Khilafah Uthmaniyah. Faktor jatuh bangun Islam dapat dilihat secara kuat di sebalik pertembungan tersebut.

Bagaimanapun, kita harus bersifat realistik dan secara jujur perlu keluarkan diri kita dari rangkulan idealisme dan menerima kenyataan bahawa Khilafah Uthmaniyah tidak terlepas daripada unsur-unsur kelemahan kelemahan yang membawa kepada tragedi malang d penghujung jalan.

Kedua: Isu Palestin. Ini merupakan satu agenda Yahudi sejak dari zaman permulaan Islam lagi. Bermula dengan perubahan Kiblat – yang menandakan peralihan kepimpinan dunia dari bangsa Yahudi kepada umat Islam.

Isu Palestin merupakan topik utama dan paling penting yang mewarnai latarbelakang pertembungan antara Islam dan dunia Barat/Eropah dengan meletusnya 8 siri Perang Salib (dari tahun 1095 – 1270, perancangan Zionis Antarabangsa untuk membentuk negara Israel bagi penduduk Yahudi sedunia dan seterusnya menguasai percaturan geo-politik antarabangsa.

Isu Palestin ini juga yang telah menyebabkan Sultan Abdul Hamid II disingkirkan dari jawatan Khalifah.

Ketiga: Menolak Normalisasi – a) Pertama dengan Israel. Negara-negara Arab yangdahulunya memulakan pemberontakan terhadap Khilafah Uthmaniyah, kini mereka juga yang saling berebut mengiktiraf Israel. Disebabkan kerakusan mereka untuk bebas dan merdeka dari naungan Khilafah Uthmaniyah, dunia Islam menjadi kacau bilau dengan tindak-tanduk mereka hari ini.

b) Kedua, menolak normalisasi dengan ideologi kufur – idea-idea asing tentang kebebasan, hak asasi, kesamarataan, liberalisma, pluralisma agama dan juga sekularisma.
Keempat: Dunia Islam telah berpecah belah. Muktamar untuk melantik Khalifah baru tidak dapat membalut dan menyembuhkan luka dan kepedihan. Realiti semasa umat Islam sudah terlalu parah.

Keperluan masa depan: Strategi utama ialah membina kekuatan dan jatidiri dari bawah – akni di peringkat individu, keluarga, komuniti, masyarakat dan seterusnya negara, mengisi semua peringkat dengan satu misi dan risalah dan menggerakkan langkah dan perancangan untuk membangun umat yang beragenda.

Strategi kedua ialah melawan musuh dan kekufuran secara seimbang, pena dengan pena, institusi dengan institusi dan kekuatan dengan kekuatan. Musuh tidak lagi boleh dihadapi sekadar dengan do’a, ratapan, zikir dan harapan atau impian. Segala kemajuan dalam bidang teknologi dan ilmu pengetahuan perlu dimanfaatkan tanpa mengabaikan sebab akibat dan falsafah hidup bersumberkan wahyu.

Tugas membangunkan peradaban yang dipasak pada tunjang Islam dan Iman ini hanya dapat dipikul oleh jiwa-jiwa yang merasa ghairah yang tinggi terhadap Islam.

Sekiranya Khilafah Uthmaniyah perlu kepada proses kebangkitan yang memakan masa beratus tahun untuk sampai ke puncaknya, maka umat islam hari ini tidak punya alasan lagi untuk hidup berpangku tangan dan membiarkan kepimpinan dunia didominasi oleh mereka yang akan membawa kebinasaan dan kehancuran kepada seluruh alam.

Kejatuhan dan keruntuhan pemerintahan Islam di Baghdad, Andalusia, Mughal dan terakhir Uthmaniyah tidak berlaku begitu sahaja. Episod-episod luka ini sehausnya menjadi pembakar semangat dan motivasi untuk satu kebangkitan dan peradaban baru.

Hidup dan masa depan umat dan bangsa perlu diagendakan.

Mohd Luttfi Abd Khalid
Pengerusi iPeguam/Pemerhati politik

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button