Berita Utama

Treler rempuh perancah besi dipercayai punca pembinaan SUKE runtuh

Kemalangan di MRR2 dekat Bandar Tasik Selatan sebabkan kesesakan lalu lintas

KUALA LUMPUR, 19 Rejab 1442H, Rabu  Rempuhan sebuah treler terlebih muatan disyaki menjadi punca projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berdekatan Bandar Tasik Selatan, runtuh lewat petang tadi.

Pemaju SUKE berkata, treler tersebut adalah kenderaan persendirian dan tidak terlibat atau tidak berkaitan dengan pembinaan lebuh raya SUKE.  

“Kemalangan di Lebuhraya MRR2 dekat Bandar Tasik Selatan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

“Ketika ini SUKE menghulurkan segala kemungkinan bantuan dan kerjasama kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan keselamatan orang ramai. SUKE akan mengeluarkan kenyataan susulan mengenai kejadian ini sebaik sahaja terdapat lebih banyak maklumat,” katanya.

Susulan kejadian itu, sebuah van dengan sekurang-kurangnya lima orang di dalamnya terperangkap setelah jambatan dalam pembinaan runtuh ke atasnya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota dalam satu kenyataan mengatakan bahawa mereka menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu sekitar jam 5.58 petang tadi.

Seramai 23 anggota bomba, tiga jentera bomba dan dua kenderaan penyelamat kecemasan dari Balai Bomba Jalan Hang Tuah, Tun Razak dan Cheras telah dihantar ke tempat kejadian di sepanjang MRR2 menuju ke Ampang.

“Siasatan awal mendapati sebahagian jambatan yang dalam pembinaan runtuh di atas sebuah van kilang. Maklumat telah diterima bahawa sekurang-kurangnya lima orang terperangkap di dalam kenderaan,” kata kenyataan itu.

Kerja untuk menyelamatkan mangsa sedang dijalankan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bandar, Asisten Komandan Zulkefly Yahya berkata, treler yang membawa jentera berat dipercayai merempuh sebahagian jambatan Lebuh Raya SUKE yang kini dalam pembinaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button