COVID-19: 2,200 kakitangan Malindo akan diberhentikan kerja
Syarikat itu turut dijangka mengurangkan jumlah pesawat
KUALA LUMPUR, 24 Safar 1442H, Isnin – Susulan daripada syarikat penerbangan di seluruh dunia mengurangkan pekerja akibat pandemik COVID-19, Malindo Airways Sdn Bhd turut tidak terkecuali dalam mengambil langkah sama.
Dilaporkan bahawa syarikat penerbangan perkhidmatan penuh hibrida dijangka akan memberhentikan sekitar 2,200 kakitangan atau lebih daripada separuh daripada 3,200 tenaga kerjanya.
Syarikat penerbangan itu juga kemungkinan akan mengurangkan jumlah pesawatnya kepada lima pesawat Boeing 737 dan enam turboprop ATR.
“Proses pemberhentian kerja melibatkan kakitangan yang terlibat dijangka selesai pada 30 November depan, manakala kakitangan yang tidak terjejas diperlukan melakukan tugasan yang pelbagai,” kata laporan itu.
Pada 9 Oktober lepas, syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd mengesahkan pemberhentian sebanyak 10 peratus daripada 24,000 kakitangan mereka, bagi kelangsungan dalam industri penerbangan yang terjejas teruk akibat krisis COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Tan Sri Tony Fernandes berkata, langkah pemberhentian kerja itu harus dilakukan memandangkan realiti sektor penerbangan menghadapi kesukaran untuk pulih dalam masa terdekat.
Pada hari sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd (MAS) Kapten Izham Ismail dilaporkan berkata, syarikat penerbangan premium itu akan memotong gaji pengurusan kanannya sebanyak 10 peratus mulai bulan ini. -Bernama