Dunia

Didesak Arab Saudi, Pakistan bayar pinjaman RM4.04 bilion

Hubungan di antara kedua-dua buah negara kian tegang ekoran isu Kashmir

ISLAMABAD, 2 Jamadilawal 1442H, Khamis – Pakistan telah mengembalikan AS$1 bilion (RM4.04 bilion) kepada Arab Saudi sebagai ansuran kedua pinjaman keseluruhan yang berjumlah AS$3 bilion (RM12.1 bilion).

Islamabad kini berpaling kepada Beijing bagi mendapatkan pinjaman komersial – membantunya mengimbangi tekanan untuk membayar AS$1 bilion (RM4.04 bilion) lagi kepada Riyadh bulan depan, kata para pegawai pada hari Rabu, menurut laporan Reuters.

Penganalisis mengatakan bahawa ianya bukan suatu kelaziman bagi Riyadh untuk menuntut pengembalian wang. Tetapi hubungan Pakistan dan Arab Saudi – yang merupakan teman rapat daripada segi sejarah, tegang sejak akhir-akhir ini.

Arab Saudi memberikan Pakistan pinjaman AS$3 bilion (RM12.1 bilion) dan kemudahan kredit minyak AS$3.2 bilion (RM12.9 bilion) pada akhir 2018. 

Bagaimanapun, selepas Islamabad meminta sokongan Riyadh atas dakwaan pelanggaran hak asasi manusia oleh India di wilayah Kashmir yang dipertikaikan, Arab Saudi telah menggesa Pakistan untuk membayar balik pinjaman tersebut.

Sejumlah pemerhati percaya, Arab Saudi berdiam diri menyaksikan pembunuhan warga muslim Kashmir kerana memiliki kepentingan bersama India.

Dengan pengeluaran AS$1 bilion (RM4.04 bilion), Pakistan – yang memiliki rizab asing bank pusat AS$13.3 bilion (RM53.8 bilion) – dapat menghadapi masalah neraca pembayaran setelah membersihkan ansuran Arab Saudi berikutnya.

“China telah menyelamatkan kita,” kata seorang pegawai kementerian luar negeri kepada Reuters.  

Seorang pegawai kementerian kewangan mengatakan bahawa bank pusat Pakistan sudah mengadakan perbincangan dengan bank perdagangan China.

“Kami telah memulangkan AS$1 bilion (RM4.04 bilion) ke Arab Saudi. AS$1 bilion (RM4.04 bilion) lagi akan dibayar kepada Riyadh bulan depan (Januari),” katanya.  

Terdahulu, Islamabad telah mengembalikan ansuran pertama AS$1 bilion (RM4.04 bilion) pada bulan Julai.

Walaupun lebihan AS$1.2 bilion (RM4.8 bilion) dalam baki akaun semasa dan rekod pengiriman wang sebanyak AS$11.77 bilion (RM47.6 bilion) dalam lima bulan terakhir telah membantu menyokong ekonomi Pakistan, namun mengembalikan wang Arab Saudi adalah tindakan mundur.

Ketua tentera Pakistan, Jeneral Qamar Javed Bajwa yang mengunjungi Riyadh pada bulan Ogos untuk meredakan ketegangan, bertemu dengan Duta Besar Saudi di Islamabad pada hari Selasa. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button