Berita Utama

PBM N.Sembilan bubar kerana hilang kepercayaan terhadap presiden

Larry Sng mungkiri janji berkaitan proses peralihan kuasa

BANGI, 3 Rejab 1444H, Rabu – Parti Bangsa Malaysia (PBM) Negeri Sembilan mengumumkan pembubaran dan peletakan jawatan semua Ahli Jawatankuasa negeri parti.

Keputusan itu berikutan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden PBM, Datuk Larry Sng.

Bekas Pengerusi PBM Negeri Sembilan, Rosman Jonet berkata, keputusan pembubaran diputuskan dalam mesyuarat Khas Jawatankuasa Majlis Pimpinan Negeri, Negeri Sembilan.

“Peletakan jawatan dan pembubaran keseluruhan jawatankuasa Negeri Sembilan termasuk jawatankuasa dari lapan bahagian iaitu Port Dickson, Jempol, Tampin, Rasah, Rembau, Jelebu dan Kuala Pilah termasuk sayap Pergerakan Pemuda dan Wanita.

“Secara konsensus dan permuafakatan, barisan kepimpinan bersetuju meletakkan jawatan serta membubarkan keseluruhan ahli jawatankuasa negeri dan bahagian PBM berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut Rosman berkata, Larry Sng juga telah memungkiri janji berhubung proses peralihan kuasa dan penyerahan jawatan Presiden parti diserahkan kepada Datuk Zuraida Kamaruddin dengan serta-merta seperti yang telah dipersetujui.

“Tindakan Larry Sng tanpa mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) serta penyalahgunaan kuasa dan jawatan telah memecat keahlian Zuraida (pengasas PBM) dan beberapa ahli politik lain dalam PBM adalah sikap angkuh serta tidak beradab dan berdisiplin,” katanya lagi.

Malah sebelum ini, Larry Sng berkata, PBM di peringkat negeri-negeri termasuk Negeri Sembilan kini dalam proses penstrukturan semula.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button