Berita Utama

Waspada! Masih wujud risiko gelombang banjir berulang

'Tidak mustahil keadaan sama berulang'

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 15 Jamadilawal 1443H, IsninMangsa banjir di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan mengambil sikap waspada.

Mereka juga diingatkan agar sentiasa mengambil tahu dengan amaran semasa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, hal ini kerana masih wujud risiko untuk gelombang banjir berulang.

Pengerusi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fredolin Tangang berkata, kejadian banjir dan hujan lebat berkemungkinan berlaku lagi berikutan negara masih berada dalam musim tengkujuh biarpun cuaca kelihatan baik.

“Angin monsun timur laut yang kencang dan luruan sejuk mungkin boleh berlaku selagi kita masih berada dalam musim monsun timur laut dan risiko banjir masih tinggi dan boleh berlaku negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia.

“Kejadian banjir yang berlaku di negara ini disebabkan oleh lekukan tropika yang dikenali sebagai sistem Lekukan Tropika 29W, yang bergerak dari Laut China Selatan dan menyebabkan banjir di beberapa negeri di Pantai Timur.

“Sistem lekukan ini yang sepatutnya berakhir di Semenanjung Malaysia mengukuh semula apabila sampai di Selat Melaka dan berlegar di kawasan tersebut sejak dari petang Jumaat dan ini menyebabkan hujan lebat berpanjangan sehingga pagi ahad di negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Prof Fredolin menambah, pengukuhan itu berkemungkinan disebabkan ia berada di atas air laut di Selat Melaka dan juga angin timur laut yang kencang akibat dari Taufan Rai yang pada ketika itu berada di tengah Laut China Selatan dan menuju ke perairan Vietnam. Tiupan angin kencang mengukuhkan daya putaran kepada lekukan ini.

“Menariknya juga sistem lekukan ini tidak bergerak terus ke barat menuju Sumatra dan Lautan Hindi tetapi berlegar di atas Selat Melaka.

“Ini menyebabkan hujan lebat yang berpanjangan dan banjir di Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata,  sistem tiupan angin di Lautan Hindi dan bahagian barat Sumatra pada ketika itu berkemungkinan menghadang pegerakan sistem lekukan ini, sekiranya ia terus bergerak, impaknya mungkin tidak seteruk seperti yang dialami.

Beliau menegaskan lekukan tropika seperti ini ternyata boleh menyebabkan penurunan hujan yang ekstrim dan banjir dan berupaya untuk bergerak merentasi Semenanjung Malaysia dan menyebabkan banjir di negeri-negeri di Pantai Barat di Semenajung Malaysia.

“Sebenarnya sistem sistem lekukan tropika yang muncul di Luat China Selatan dan berjaya merentasi Semenanjung Malaysia pernah berlaku sebelum ini seperti yang pernah berlaku di Johor dan juga Pulau Pinang.

“Jadi di masa hadapan, kita mesti memantu sistem begini dan memastikan samada ia berkemungkinan mengukuh semula atau tidak apa bila merentasi Semanjung Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button