
JOHOR BAHRU, 20 Rejab 1442H, Khamis – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor merampas sebanyak 4,881.50 kilogram ubatan herba dari China bernilai RM446,882.17, tengah hari semalam.
Barang dagangan iaitu ‘Medicinal Herbs’ ditahan di laluan kargo import di Bangunan Sultan Iskandar, di sini.
Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, barangan dagangan berkenaan tidak mematuhi syarat import seperti ditetapkan pihaknya.
“Hasil pemeriksaan rutin dilakukan pegawai Maqis mendapati barang dagangan seberat 4,881.50kg dianggarkan bernilai RM446,882.17.
“Pemandu lori berusia 45 tahun yang membawa muatan itu dibebaskan selepas keterangannya diambil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana tidak mematuhi syarat import sebagaimana yang dinyatakan dalam permit, lesen atau perakuan.