Berita UtamaDunia

ICC siasat jenayah perang di wilayah Palestin

Negara haram Israel tuduh siasatan bersifatkan antisemitisme

GENEVA, 20 Rejab 1442H, Khamis –  Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) akan melakukan siasatan rasmi terhadap jenayah perang di wilayah Palestin yang dijajah dan akan menyiasat kedua-dua pihak dalam konflik tersebut, lapor Reuters.

Keputusan itu dibuat setelah mahkamah pada 5 Februari lalu memutuskan bahawa pihaknya memiliki bidang kuasa dalam kes berkenaan, meskipun mendapat bantahan Washington dan Israel.  

Pendakwa raya, Fatou Bensouda berkata, keputusan untuk membuka siasatan dibuat susulan pemeriksaan awal yang melalui tempoh sukar oleh pihaknya selama hampir lima tahun.

“Akhirnya, keprihatinan utama kita harus tertumpu kepada mangsa-mangsa kejahatan, baik Palestin dan Israel, yang melalui siri keganasan dan rasa tidak aman hingga menyebabkan penderitaan dan putus asa. 

“Pihak saya akan mengambil pendekatan yang berprinsip, tanpa berat sebelah,” katanya dalam satu kenyataan.

Bensouda, yang akan digantikan oleh Pendakwa raya Britain, Karim Khan pada 16 Jun, berkata, pada bulan Disember 2019, jenayah perang  telah atau sedang dilakukan di Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Semenanjung Gaza.

Beliau tidak menolak kemungkinan Israel dan kumpulan Palestin yang bersenjata adalah pelaku bagi jenayah itu.

Katanya, langkah seterusnya adalah menentukan sama ada Israel atau Palestin mempunyai siasatan tersendiri dan menilai perkara itu.

Sementara itu, pemimpin Israel, Benjamin Netanyahu tidak memberi sebarang komen berhubung perkara berkenaan.

Ketika mahkamah memutuskan bidang kuasa, dia mendakwa: “Apabila ICC menyiasat Israel atas kejahatan perang palsu, ia adalah antisemitisme.”

Pihak Berkuasa Palestin menyambut baik siasatan pendakwa raya.

Bagaimanapun Kementerian Luar Palestin menyambut baik langkah berkenaan, sambil menyifatkan perkara itu adalah langkah yang ditunggu-tunggu bagi menuntut keadilan Palestin yang tidak mengenali erti penat lelah.

Katanya, perkara itu juga adalah tonggak perdamaian yang sangat diperlukan oleh rakyat Palestin

“Kami mengalu-alukan keputusan ICC untuk menyiasat jenayah perang pendudukan Israel terhadap rakyat kita. Ini adalah langkah ke depan untuk mencapai keadilan,” kata jurucakap Hamas di Gaza, Hazem Qassem. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button