Berita Utama

Mesyuarat MPT BERSATU selesai selepas lebih dua jam

Keluar kenyataan rasmi hasil mesyuarat malam ini

PUTRAJAYA, 20 Rejab 1442H, Khamis – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), di sini selepas lebih dua jam bermesyuarat.

Ketika ditemui pemberita Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU memaklumkan kenyataan rasmi mengenai hasil mesyuarat berkenaan akan dikeluarkan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Kenyataan akan dikeluarkan Setiausaha Agung sebentar lagi,” katanya.

Mesyuarat yang berlangsung di sebuah hotel di sini antaranya adalah bagi membincangkan mengenai hubungan parti itu dengan UMNO yang juga rakan kerjasamanya di dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ia susulan surat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Perdana Menteri mengenai keputusan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Turut hadir pada mesyuarat itu, Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Naib-naib Presiden, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Hadir sama Ketua Penerangan, Datuk Wan Saiful Wan Jan, Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad dan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd Harun, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin.

Hamzah ketika ditemui berkata kenyataan akan dikeluarkan selewat-lewatnya malam ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button