Berita Utama

Petugas kesihatan tak boleh buat pernyataan awam tanpa kebenaran

Setiap kes diadu jika sabit kesalahan dikenakan hukuman tatatertib

BANGI, 20 Rejab 1442H, Khamis – Petugas kesihatan dilarang membuat sebarang pernyataan awam tanpa mendapat kebenaran, selaras dengan prinsip perkhidmatan dan peraturan berkaitan tatatertib.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan hari ini, merujuk edaran pernyataan awam yang tersebar di media sosial mengenai pelaksanaan pemberian vaksin yang kononnya ditulis oleh petugas kesihatan kementerian berkenaan.

KKM berkata, setiap penjawat awam ditegah untuk membuat pernyataan secara langsung atau tidak langsung menyentuh pelaksanaan apa-apa dasar awam, program dan keputusan kerajaan tanpa kebenaran.

“Pernyataan yang tidak wajar dan dibuat tanpa usul periksa bukan sahaja menjejaskan imej pegawai sebagai penjawat awam, malah boleh menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan dalam masyarakat serta menjejaskan kredibiliti perkhidmatan awam dankerajaan.

“KKM memandang serius berhubung dengan salah laku dalam penggunaan media sosial dan kecenderungan pegawai membuat pernyataan awam secara tidak wajar,” katanya.

Beliau berkata, etika dan tata kelakuan dalam perkhidmatan awam khususnya berkaitan penggunaan media sosial, bukanlah bertujuan menghalang mana-mana pegawai untuk bersuara.

Sebaliknya, langkah itu bagi memastikan pegawai menggunakan saluran maklum balas dan aduan yang betul serta menjaga imej dan kredibiliti pegawai, pekhidmatan awam serta kerajaan.

“Setiap pegawai di KKM dari semasa ke semasa diingatkan supaya memelihara kesopanan dan kesusilaan semasa menggunakan media sosial serta menjaga batas-batas penggunaannya agar tidak terjebak sebagai salah laku yang boleh dikenakan hukuman tatatertib.

“Setiap kes yang diadukan atau dikenal pasti sekiranya sabit kesalahan, hukuman tatatertib akan dikenakan berdasarkan kepada peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button