Berita Utama

Polis keluarkan 92 saman kepada 63 pelajar baru habis SPM

Kesalahan termasuk ubah suai ekzos, tunggang motor tanpa lesen

MELAKA, 20 Rejab 1442H, Khamis – Polis trafik mengeluarkan 92 saman kepada 63 pelajar kerana ‘meraikan’ berakhirnya peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) di dua lokasi di Klebang, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Supritendan Hasan Basri Yahya berkata, para pelajar disaman kerana melakukan pelbagai kesalahan di Dataran 1 Malaysia dan Pantai Puteri, hari ini.

Beliau berkata, saman itu dikeluarkan dalam Op Khas Pengubahsuaian Ekzos dan Pemantauan Calon SPM dimulakan semalam dan berlangsung selama beberapa jam hingga 8 malam.

“Dalam operasi di dua lokasi sasaran itu kami telah menjalankan pemeriksaan ke atas 53 motosikal membabitkan 63 pelajar termasuk pelajar perempuan,” katanya.

Beliau berkata, hasilnya pemeriksaan sebanyak 92 saman dikeluarkan polis atas pelbagai kesalahan trafik yang dikesan.

“Antara kesalahan tertinggi direkodkan adalah membabitkan tidak memapar L/P dengan 21 saman, diikuti aksesori tidak sempurna (17) serta ubah suai ekzos dan penunggang bawah 17 tahun (6).

“Antara kesalahan lain yang dikesan adalah tiada nombor pendaftaran, tidak memakai topi keledar, tiada lesen, nombor plat tidak mengikut spesifikasi atau ‘fancy’ serta tiada perlindungan insurans,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa 14 motosikal juga disita.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button