Berita Utama

Sokong petisyen pinda Perlembagaan martabat perundangan syariah

Pastikan perundangan syariah tak dicabar pihak yang bawa ideologi liberalisme, sekularisme

BANGI, 20 Rejab 1442H, Khamis – Umat Islam diminta mengetepikan fahaman politik dan latar belakang supaya dapat bersama-sama menyokong petisyen sekumpulan peguam dan pengamal undang-undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mempertahankan perundangan syariah.

Kesatuan semua pihak diperlukan dalam memartabatkan perundangan syariah di Malaysia, supaya tidak diperlekeh dan direndahkan oleh pihak yang antipelaksanaan syariat, tegas Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, beliau berkata, sekalipun dibuat atas pertimbangan dan kebijaksanaan para Yang Amat Arif dan Yang Arif-Arif Hakim, namun dikhuatiri bakal membuka suatu ruang untuk lebih banyak peruntukan jenayah syariah di Malaysia dicabar di Mahkamah Sivil.

“Keputusan penghakiman tersebut dilihat sebagai peluang kepada golongan liberal untuk membuat lebih banyak litigasi strategik (strategic litigation) bagi Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.

“… kerana tanpa disedari, ianya telah menyempitkan bidang kuasa negeri dalam menggubal undang-undang jenayah syariah seperti termaktub dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerisauan ini berasas sekiranya undang-undang sivil selepas ini, secara tiba-tiba meminda Kanun Keseksaan dan membuang peruntukan kesalahan berkenaan persetubuhan luar tabii atau liwat.

Pada masa sama, Badan Perundangan Negeri telah mengeluarkan peruntukan yang sama dari Enakmen Jenayah Syariah Negeri kerana tiada bidang kuasa dan Mahkamah Syariah telahpun hilang hak untuk mendakwa dan menghukum kesalahan tersebut.

“Maka pada waktu itu, tiada lagi mahkamah di Malaysia yang berbidangkuasa untuk mendakwa dan menghukum pelaku kesalahan ini. Ini sekali gus akan membenarkan perbuatan songsang dan tidak berakhlak ini bermaharajalela. Dan kita bimbang jika inilah strategi yang sedang disusun oleh golongan liberal.

“Tiada jalan lain yang boleh dilakukan bagi mempertahankan perundangan syariah, selain dari menggubal Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dengan mendefinisikan semula maksud ‘precepts of Islam’ (perintah agama Islam).

“Negeri harus diberikan kuasa menggubal peruntukan jenayah syariah sekalipun ia diperuntukkan di bawah undang-undang jenayah sivil dalam Kanun Keseksaan, selagi mana ianya merupakan kesalahan yang menyalahi perintah agama Islam,” katanya.

Jelasnya, ini penting bagi memastikan kedudukan dan kedaulatan perundangan syariah, yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tidak dicabar dan diperlekeh oleh pihak-pihak yang membawa ideologi liberalisme dan sekularisme dalam negara ini.

“Justeru saya amat bersetuju dengan tuntutan ini dan menegaskan bahawa saya menyokong sepenuhnya agar pindaan ini dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan, bahawa peruntukan undang-undang syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah, adalah tidak sah dan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim, dalam penghakimannya berkata hanya, Parlimen ada bidang kuasa menggubal undang-undang yang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah.

Beliau berkata, Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang membenarkan hukuman bagi seks luar tabii, adalah tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button