Tempahan vaksin COVID-19 lebih 108 peratus penduduk Malaysia
Program Imunisasi COVID-19 yang disediakan cukup untuk semua

KUALA LUMPUR, 20 Rejab 1442H, Khamis – Vaksin COVID-19 yang ditempah Malaysia sehingga kini telah melebihi 108 peratus daripada jumlah penduduk negara, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai tidak perlu bimbang memandangkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang disediakan adalah mencukupi untuk semua orang.
“Nasihat saya kepada seluruh rakyat Malaysia sekarang, sila mendaftar dengan aplikasi MySejahtera, sebab program vaksin yang kita sediakan adalah mencukupi untuk semua orang.
“Dari segi giliran… sebarang kegiatan potong barisan kita tidak benarkan, (termasuk mereka) yang tidak tergolong dalam senarai frontliners (barisan hadapan), kita tidak benarkan dan (perkara ini) boleh diadukan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Amzad berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga telah memberi jaminan tidak akan berlaku gangguan bekalan elektrik yang boleh memberi kesan kepada penyimpanan vaksin COVID-19, terutamanya Pfizer-BioNTech, yang memerlukan suhu -70 darjah Celcius.
Beliau berkata, perbincangan dengan TNB telah dijalankan pada minggu lepas bagi memastikan mereka mempunyai pelan gantian supaya tidak berlaku gangguan kepada bekalan elektrik.
“Kita tidak mahu apa yang berlaku di Jepun, yang mana saya difahamkan 1,000 dos (vaksin) terpaksa dibuang begitu sahaja disebabkan pada hujung minggu lepas tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Maka semua ini telah diambil kira dan insya-Allah, kita harap perkara itu tidak berlaku dan kita telah mengambil langkah yang perlu.
TNB telah memberikan senarai khusus nama pegawai yang akan ditugaskan di setiap tempat sekiranya berlaku apa-apa gangguan dari segi bekalan,” katanya. – Bernama