Berita Utama

UMNO hanya bersama kerajaan PN sehingga Parlimen dibubar

Keputusan dicapai setelah ambil kira pandangan akar umbi

BANGI, 20 Rejab 1442H, Khamis – UMNO memutuskan untuk tidak menjalinkan sebarang kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Keputusan itu sebulat suara disepakati di dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) pada 19 Februari lalu.

Mesyuarat itu juga antara lain turut bersetuju bahawa kebersamaan UMNO di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan berkata, keputusan mesyuarat MKT bersetuju untuk Presiden parti mengutuskan surat kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyatakan pendirian itu.

Ini kerana, Muhyiddin ketika dalam satu perjumpaan khas antara UMNO dan PAS pada 15 Februari lalu, meminta parti berkenaan membuat pendirian jelas berkenaan kedudukan kerjasama sebelum rundingan pengagihan kerusi diteruskan untuk PRU15, kata Ahmad Maslan.

“Sejak dari awal, UMNO sentiasa berpegang kepada pendirian bahawa untuk memastikan perpaduan dibina atas sebuah pakatan atau kerjasama politik yang bertahan lama dan efektif mestilah berteraskan kejujuran dan keikhlasan demi menjaga kemaslahatan rakyat.

“Justeru, keputusan ini dicapai setelah mengambil kira pandangan akar umbi dan mempertimbangkan secara cermat, buruk baiknya keberadaan dalam kerajaan ketika rakyat berhadapan pandemik COVID-19,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button