Berita Utama

UMNO menuju kehancuran jika pilih DAP

Akar umbi PAS lebih cenderung kepada UMNO berbanding Bersatu: Penganalisis

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 20 Rejab 1442H, Khamis – Sekiranya UMNO memilih untuk menjalinkan kerjasama dengan parti rasis dan cauvinis DAP, parti keramat Melayu itu pasti menuju kehancuran, kata penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain.

Beliau membayangkan, UMNO tidak akan berjaya mendapatkan kepercayaan rakyat, bahkan sama sekali tidak akan menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika DAP dijadikan ‘rakan kongsi’.

Melainkan, UMNO terus menjalinkan kerjasama dengan PAS, berkemungkinan parti itu akan menjadi lebih kukuh, katanya. 

“Jika betul-betul solid kerjasama antara kedua parti (UMNO-PAS) termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS), tidak mustahil UMNO dan PAS akan menang dalam pilihan raya akan datang.

“UMNO juga dapat mengambil alih semula tampuk pemerintahan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, Prof Atory percaya ramai akar umbi PAS cenderung kepada UMNO berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Di Gombak juga majoriti akar umbi PAS cenderung menyokong UMNO,” katanya.

Status UMNO kini menjadi tanda tanya apabila parti itu dilaporkan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Semalam, UMNO Pulau Pinang tetap dengan pendiriannya akan bekerjasama dengan PAS dalam PRU15 nanti.

Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pihaknya akan mengadakan satu sesi bersama (retreat) dengan kepimpinan PAS Pulau Pinang dalam masa terdekat.

Selain itu, UMNO Pahang juga menyatakan akan berkerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) negeri itu untuk PRU15.

Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pendirian itu dinyatakan dalam mesyuarat kepemimpinan MN Pahang, yang dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar dan timbalannya, Andansura Rabu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button