Berita Utama

UMNO tak akan kerjasama dengan Bersatu pada PRU15

Pendirian Bersatu akan diputuskan dalam mesyuarat petang ini

KUALA LUMPUR, 20 Rejab 1442H, Khamis – Teka-teka mengenai ‘status’ hubungan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal menemui jawapan, hari ini selepas surat menamatkan kerjasama antara kedua-dua parti diterima dan mendapat maklum balas.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan menghantar surat berhubung pendirian parti itu kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 26 Februari lalu.

Surat yang dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Janda Baik, Pahang pada 19 Februari itu menyatakan bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun, parti itu menegaskan bahawa ia akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) hanya sehingga Parlimen dibubarkan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan, hari ini berkata, Biro Politik Bersatu telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai perkara itu petang semalam.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Muhyiddin itu mengambil maklum keputusan Majlis Tertinggi UMNO seperti berikut; i.Tiada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15; dan
ii. Kebersamaan dalam Kerajaan Perikatan Nasional boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

“Sehubungan itu, Biro Politik mengambil ketetapan bahawa pendirian Bersatu akan diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Bersatu pada petang ini, 4 Mac 2021 (Khamis).

“…pendirian tersebut akan dibincangkan juga dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional akan datang bersama parti-parti komponen Perikatan Nasional yang lain iaitu PAS, STAR, SAPP dan Gerakan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button