18,600 pelajar IPT dikecualikan bayaran ujian pengesanan
Mereka perlu lakukan ujian di fasiliti KKM

PUTRAJAYA, 21 Rejab 1442H, Jumaat – Sejumlah 18,600 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari Sabah, Sarawak, Labuan dan Semenanjung yang tergolong dalam tiga kategori ditetapkan, dikecualikan daripada dikenakan fi atau bayaran ujian pengesanan COVID-19.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, mereka adalah pelajar yang akan memulakan sesi pembelajaran fizikal dari Sarawak, Labuan dan Semenanjung ke Sabah; pelajar dari Sabah ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan; serta pelajar dari Semenanjung dan Labuan ke Sarawak.
Beliau berkata, pengecualian fi itu adalah untuk melakukan ujian tersebut di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bercakap pada majlis pelancaran buku bertajuk Impak COVID-19 Terhadap Insan, terbitan Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) secara maya, Dr Adham menganggarkan kos terlibat ialah sebanyak RM2.79 juta.
Buku tersebut dihasilkan sekumpulan penyelidik dari Pusat Penciptaan Nilai dan Kesejahteraan Insan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM, berdasarkan pengalaman mendepani Covid-19 serta penyelidikan saintifik. – Bernama