Berita Utama

PAS komited perkasa MN, pertahan PN

Tolak sebarang bentuk penjajaran baharu libat PH, sekutunya

KUALA LUMPUR, 21 Rejab 1442H, Jumaat – PAS hari ini tampil di celah-celah konflik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO, menzahirkan komitmen untuk terus memantapkan kerjasama sedia ada antara ketiga-tiga parti utama yang membentuk Perikatan Nasional (PN) berkenaan dan menolak sebarang bentuk penjajaran baharu melibatkan Pakatan Harapan (PH) atau sekutunya.

Selain meneruskan agenda memperkukuh perpaduan ummah yang menjadi asas kerjasama PN, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pihaknya sedia mempertegaskan usaha memperkasa Muafakat Nasional, sekali gus mempertahan PN di semua peringkat.

“PAS juga mengambil ketetapan menolak sebarang usaha mana-mana pihak yang boleh merungkai perpaduan ummah yang telah sedia terjalin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) berkata ketetapan ini diambil memandangkan isu kerjasama semua parti politik Melayu amat penting dalam konteks masa depan politik negara.

Beliau berkata pihaknya mengikuti secara dekat perkembangan hubungan kerjasama parti-parti yang membentuk kerajaan PN dan beberapa pertemuan pihaknya dengan kedua-dua parti rakan PAS berkenaan diketuai Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah diadakan termasuk dengan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

“PAS amat yakin segala perbezaan, pertikaian serta salah faham yang wujud dapat diselesaikan dan diharmonikan pimpinan parti-parti atas dasar ukhuwah dan kekeluargaan demi agenda kepentingan negara dan rakyat yang lebih besar.

“Pada masa sama PAS turut menekankan buat masa ini sewajarnya semua pihak memberikan sepenuh perhatian bagi menjayakan langkah-langkah diambil kerajaan dalam usaha memerangi wabak COVID-19 dan pemulihan semula ekonomi negara dengan sebaiknya,” katanya.

Takiyuddin berkata PAS juga komited terus memantapkan hubungan dengan rakan-rakan sekutu lain di bawah PN demi kelangsungan pemerintahan negara yang diterima baik majoriti besar rakyat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button