Berita Utama

Apakah penyatuan Melayu hanya bergantung pada parti politik?

‘Melayu ditakutkan dengan andaian akan celaka di tanah air sendiri jika tidak bersatu di bawah satu naungan yang berbumbungkan politik’

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 21 Rejab 1442H, Jumaat – Penyatuan Melayu dan janji untuk menjulang kedaulatan Islam sering kali menjadi ratib dan laungan politikus untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Lalu timbul persoalan sama ada isu penyatuan ini hanya digembar-gemburkan oleh mereka yang takut kehilangan kuasa, kata Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM), Shahbudin Embun.

Beliau turut mempersoalkan sama ada adakah selamanya parti akan menggunakan alasan penyatuan Melayu untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing.

“Adakah tidak ada formula lain yang boleh menyatukan bangsa Melayu selain daripada elemen politik?

“Adakah Melayu merupakan bangsa yang tidak matang sehinggakan tidak boleh berfikir dan berjuang mengikut acuan dan ideologi  masing-masing? 

“Bukankah sudah sampai masanya semua pihak belajar berpolitik dengan lebih matang?,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengambil contoh situasi, Shahbudin berkata, suatu ketika dahulu, UMNO dan PAS adalah musuh yang dianggap tidak akan berkawan selama-lamanya. 

Beliau berkata, permusuhan itu terutama sekali dapat dilihat di Kelantan dan Terengganu, yang mana ia boleh berlanjutan sehingga ke peringkat rakyat umum.

“Namun, kita tanya pada diri kita, bukankah sudah sampai masanya kita mendidik anak-anak kita supaya menghormati pandangan dan pendirian masing-masing. 

“Saya yakin jika perkara ini kita ajar dari awal lagi, iaitu menghormati idelogi dan perjuangan parti yang disokong, maka tidak akan timbul soal perpecahan Melayu,” katanya.

Namun apa yang terjadi ketika ini, menurut Shahbudin, adalah masyarakat Melayu ditakutkan dengan pelbagai andaian.

“Kita ditakutkan dengan andaian yang bangsa ini akan berpecah, akan mengemis akan menjadi celaka di tanah air sendiri jika tidak bersatu di bawah satu naungan yang berbumbungkan politik. 

“Adakah kita sudah kekurangan cendekiawan Melayu yang tidak boleh memberikan formula untuk kita bersatu tanpa perlu bersatu dalam sebuah perikatan yang berdasarkan politik semata-mata?

“Sebenarnya usaha untuk mematangkan diri kita berpolitik telah bermula tanpa disedari. Lihat sahaja pada perbahasan dan forum yang diadakan oleh beberapa pihak, yang mana ada beberapa parti politik yang telah dijemput untuk berbincang pada beberapa isu ‘panas’.

“Saya dapati panel jemputan akan memberikan pandangan dan apabila panel lain memberikan pandangan pula, mereka mendengar dan tidak ada berlakunya pertelingkahan lidah. Inilah yang sepatutnya berlaku dan inilah erti kematangan dalam berpolitik,” katanya.

Tegasnya, kekuatan dan keutuhan bangsa Melayu perlu diperkuatkan bukan dengan penyatuan tiga atau empat parti dalam satu perikatan.

Tetapi apa yang lebih penting ialah mengajar bangsa Melayu mengenai pentingnya integriti, perlunya persefahaman antara sesama insan tanpa mengira kaum dan agama, kata Shahbudin.

“Dan yang paling penting tentang bagaimana ajaran Islam yang betul dapat membawa kita ke jalan yang benar. 

“Bukan itu sahaja, kekuatan bangsa Melayu juga boleh diperkuatkan dengan mengajar bangsa Melayu akan jijiknya rasuah, dan akan kotornya fitnah.

“Secara keseluruhannya, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kita mendidik anak-anak kita dan generasi akan datang untuk menghormati pandangan seseorang tentang sesuatu isu yang berkaitan dengan politik. Ini bermakna menghormati pendirian anak-anak kita dan mengajar mereka untuk tidak menjadi robot,” katanya.

Beliau berkata, praktis ini juga bermakna mengajar anak-anak yang bakal mengemudi masa depan negara untuk lebih arif menganalisis sesuatu isu dengan mengambil kira beberapa pandangan lain.

“Biarlah bangsa Melayu mempunyai 100 parti politik pun, tetapi jika kesemua parti ini mengutamakan kematangan dalam berfikir dan melakukan semua tindakan dengan penuh amanah dan integriti, saya yakin bangsa Melayu akan kukuh dan kuat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button