Berita Utama

Enam sekeluarga nyaris rentung

Mangsa tak sempat selamatkan barang penting, dokumen peribadi

GUA MUSANG, 21 Rejab 1442H, Jumaat  – Enam sekeluarga nyaris rentung dan tinggal sehelai sepinggang selepas rumah pusaka yang didiami mereka di Kampung Lembaga, di sini musnah terbakar awal pagi tadi.

Ibu tunggal, Zainab Yunus, 59, berkata, dia baru 20 minit tidur apabila tiba-tiba dikejutkan jiran supaya keluar dari rumah ketika kejadian berlaku pada 4 pagi.

“Saya segera bangkit daripada tidur sebelum mengejutkan dua anak bersama tiga cucu untuk menyelamatkan diri. Api marak sangat pantas, dalam 15 minit kebakaran merebak ke seluruh bahagian rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Zainab berkata, dia tidak sempat menyelamatkan barang penting serta dokumen peribadi kerana kejadian berlaku sangat pantas.

“Kejadian turut memusnahkan sebuah van, sebuah kereta dan lima motosikal. Buat sementara waktu, kami akan menumpang di rumah saudara terdekat sebelum memikirkan pembinaan semula rumah menggantikan yang terbakar itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian kebakaran itu pada 4.06 pagi.

“Sembilan anggota bersama tiga jentera bergegas ke lokasi dan ketika sampai, api masih marak membakar rumah mangsa. Anggota bomba mengambil masa 20 minit untuk mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran, operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 7 pagi,” katanya dan menambah punca kebakaran masih disiasat. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button