Berita Utama

Isu kenyataan Zahid: Ketua Pegawai Media BN digantung tugas sebulan

Kenyataan media didakwa tak dapat kelulusan Sekretariat Dewan Tertinggi BN

KUALA LUMPUR, 21 Rejab 1442H, Jumaat – Ketua Pegawai Media Barisan Nasional (BN) digantung tugas serta-merta selepas didakwa mengeluarkan kenyataan yang mempunyai sedikit kekhilafan mengenai persidangan Parlimen.

“Merujuk kepada kenyataan media oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang bertarikh 4 Mac 2021, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan agar sedikit kekeliruan terhadap kenyataan media berkenaan adalah atas kekhilafan seorang pegawai di Sekretariat BN,” kata Setiausaha Eksekutif BN, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz 

Beliau memaklumkan, pihaknya telah mewujudkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman pada pagi ini bagi membincangkan penyiaran kenyataan media Pengerusi BN yang tidak mendapat kelulusan pihak Sekretariat Dewan Tertinggi BN terlebih dahulu.

Katanya, ia kurang tepat sebagaimana yang telah diperbincang dan diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

“Maka setelah mendengar pandangan Jawatankuasa Siasatan Dalaman, saya telah menggantung tugas Ketua Pegawai Media BN bagi tempoh satu bulan berkuat kuasa serta-merta. 

“Ini juga bagi membolehkan proses siasatan dalaman dapat dilaksanakan dengan lebih terperinci dan lebih berkesan,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid dalam kenyataan media antara lain menjelaskan BN mengesyorkan Ahli-Ahli Dewan Rakyat menyeru Perdana Menteri dan Jemaah Menteri menghormati titah Yang di-Pertuan Agong agar sidang Parlimen dilaksanakan dalam kadar segera.

Malah, beliau merayu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera.

Bagaimanapun, tiga parti komponen BN iaitu MIC, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyanggah kenyataan Ahmad Zahid.

Mereka menegaskan mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Rabu lalu mengambil ketetapan untuk tidak membuat sebarang andaian dengan titah Seri Paduka Baginda berhubung sidang Parlimen.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button