Kemelut Myanmar: Thailand, Vietnam bawa pulang rakyat
Singapura turut nasihat rakyatnya tinggalkan negara itu

BANGKOK, 21 Rejab 1442H, Jumaat – Thailand akan membawa pulang rakyatnya yang terkandas di Myanmar susulan keganasan yang kian memuncak di negara itu, menyaksikan 38 orang terbunuh ketika pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan.
Kerajaan Thailand telah mengatur dua penerbangan khas pada 12 dan 16 Mac untuk membawa pulang warganya, menurut laman Facebook rasmi Kedutaan Thailand di Yangon hari ini.
Memandangkan situasi di Myanmar semakin buruk sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari, negara-negara lain juga sedang mengatur penerbangan untuk membawa pulang rakyat masing-masing.
Vietnam sudah mengatur dua penerbangan sewa khas pada 11 Mac untuk membawa pulang 390 rakyatnya.
Pada Khamis Singapura turut menasihatkan rakyatnya meninggalkan negara itu.
Tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa pada 1 Feb dan menahan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint, dan pemimpin Liga Demokratik Kebangsaan Nasional (NLD) yang lain.
Junta turut mengisytiharkan perintah darurat selama setahun dan berikrar untuk “mengambil tindakan” terhadap tuduhan penipuan undi pada pilihan raya umum 8 November, yang dimenangi parti NLD. – Bernama