Berita UtamaPendapat

Keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan seks luar tabii tamparan hebat kepada Perikatan Nasional

Apa guna jadi pemimpin Islam di Parlimen jika tiada sensitiviti terhadap maksiat liwat bukan kuasa Mahkamah Syariah

GEMPAR baru-baru ini Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa badan perundangan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang Syariah yang menjadikan seks luar tabii satu kesalahan.

1. Bagi saya ini adalah tamparan hebat kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap usaha pemerkasaan undang-undang Syariah di Malaysia. Walaupun kes ini berlaku di Selangor, tidak bermaksud kerajaan-kerajaan negeri lain yang diperintah oleh PN boleh mengambil lengah.

Inilah masanya kerajaan yang ditunjangi oleh parti Melayu dan Islam memanfaatkan kuasa yang ada untuk mengangkat Mahkamah Syariah di tempat yang selayaknya.

2. Malulah kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mampu mengubah buku Teks Sejarah Tingkatan 4 mengikut selera nafsu mereka walaupun mereka hanya berkuasa tidak sampai 2 tahun.

Mana jasa yang mahu ditinggalkan PN kepada agenda pemerkasaan mahkamah Syariah di Malaysia? Adakah usaha Rang Undang-Undang (RUU)355 tinggal hanya pada nama?

3. Kerajaan PN jangan mudah alpa dan tenggelam dalam permainan perebutan angka di Parlimen, sehingga tiada masa untuk mempertahankan martabat perundangan Syariah.

Apa guna berpolitik dan menjadi pemimpin Islam di Parlimen sekiranya tiada sensitiviti jika puak liberal dan anti perundangan Syariah bersorak ketika maksiat liwat diwartakan bukan bidang kuasa mahkamah Syariah.

4. Magnitud hukuman yang dikatakan lebih berat di Mahkamah Sivil berbanding Mahkamah Syariah bukanlah isu yang ingin diperjuangkan kerana hukuman yang berat bukan objektif utama dalam perundangan syariah.

Apa yang dibimbangkan, kes ini dijadikan rujukan untuk mengecilkan lagi skop mahkamah syariah terhadap pelbagai kesalahan dan maksiat yang lain.

5. Betul, bukan mudah menjadi pemimpin. Bukan mudah untuk memartabatkan perundangan syariah. Tapi ingatlah bukan mudah juga untuk berhadapan dengan hisab Allah SWT di akhirat nanti, tambahan pula apabila kepimpinan itu diminta dan direbut.

Namun apabila kuasa sudah dalam dakapan kenapa dibiar begitu sahaja?

Mohd Nasrul Muhaimin
YDP ISMA Dungun

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button