Berita Utama

MIC, MCA dan PBRS senada tak setuju kenyataan Presiden UMNO

Mesyuarat BN tak pernah sokong rayu Agong segerakan sesi Parlimen

KUALA LUMPUR, 21 Rejab 1442H, Jumaat – Beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) senada dengan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran yang menempelak tindakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merayu kepada Yang di-Pertuan Agong agar menitahkan supaya sidang Parlimen diadakan segera. 

Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup berkata: “Dewan Tertinggi BN tidak setuju berhubung kenyataan media yang dikeluarkan (oleh Presiden UMNO).”

Semalam, Vigneswaran berkata, mesyuarat BN pada Rabu lalu mengambil ketetapan untuk tidak membuat sebarang andaian dengan titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung sidang Parlimen.

“Saya terkejut dengan kenyataan Pengerusi BN. Mesyuarat BN tidak pernah menyokong sebarang keputusan untuk merayu Seri Paduka agar menitahkan mengadakan Parlimen dengan segera,” katanya seperti dilapor portal tempatan.

Manakala, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pula mengesahkan kenyataan Vignesawaran itu.

“Saya sahkan apa dikatakan oleh Viki (Vigneswaran) adalah betul,” katanya.

Vigneswaran yang nyata terkejut dengan perkembangan terbaharu itu menyifatkan bahawa kenyataan Ahmad Zahid sebagai kurang tepat.

“Isu perlu mengadakan sesi Parlimen memang dibincangkan. Tetapi, terdapat penjelasan daripada beberapa pihak bahawa Agong bukan menitah untuk mengadakan sesi Parlimen dengan segera.

“….sebaliknya hanya mencadangkan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

“Maka, kami mengambil pendirian untuk tidak membuat sebarang andaian dan tiada keperluannya untuk membuat sebarang kenyataan berhubung sesi Parlimen,” katanya.

Terdahulu, BN dilaporkan merayu Seri Paduka Baginda untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera.

Ahmad Zahid berkata, Seri Paduka Baginda boleh menggunakan kuasa wewenang di bawah Seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, yang dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button