Berita Utama

Perbalahan pemimpin Melayu beri peluru kepada musuh

Kebolehan bangsa Melayu makin diperlekeh, musuh makin jauh daripada mengenali Islam sebenar

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 21 Rejab 1442H, Jumaat – Peluang mendapatkan kembali tampuk pemerintahan daripada Pakatan Harapan (PH) oleh parti-parti dominasi Melayu semakin hari tampak semakin disia-siakan.

Ahli Jawatankuasa Pusat Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Norzaimeen A Kadir berkata, pemimpin-pemimpin Melayu seolah-olah tidak mengambil iktibar dan peringatan daripada senario Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“PRU14 bagaikan tidak bermakna apa-apa pada mereka. Mereka tidak serik dengan hukuman yang dah ditunjukkan oleh rakyat yang dah mula terbuka mata dan minda mereka sekarang,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Norzaimeen berkata, sepatutnya peluang mendapatkan kembali tampuk pemerintahan daripada PH itu digunakan untuk meletakkan kembali perjalanan politik negara ‘back-on-track’ seperti mana yang dikehendaki Islam – sementelah agama rasmi negara ini adalah agama Islam.

“Tetapi perbalahan demi perbalahan yang tidak sudah-sudah berlaku antara parti-parti Melayu Islam ini yang langsung tidak membawa apa-apa kebaikan kepada rakyat, agama dan bangsa.

“Seolah-olahnya mereka tidak takut pada janji Allah bahawa para pemerintah itu pasti akan dipertanggungjawabkan atas urusan kebajikan rakyat yang diperintah.

“Alangkah baiknya peluang kedua ini digunakan untuk membuktikan bahawa Islam ada penyelesaian pada setiap masalah dan penyelesaian Islam lah yang paling adil dan berkesan,” katanya.

Pun begitu, pemimpin-pemimpin kini saling berbalah dan mengugut sekaligus memberi peluru kepada pihak musuh untuk terus memperlekehkan kebolehan bangsa Melayu, sebagai bangsa tonggak negara. 

“Akhirnya, kita semakin terhina, manakala musuh semakin jauh dari mengenali agama Islam yang sebenar, kerana tidak ada contoh dan tauladan buat mereka, daripada kita yang beragama Islam.

“Adakah ini bermakna negara memerlukan satu ‘Kuasa Ketiga’ untuk mengajar mereka?,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button