Berita Utama

Rentas negeri mungkin dibenar selepas 18 Mac jika kes menurun

Kenal pasti zon merah, oren, kuning dan hijau sebelum melancong

KUALA LUMPUR, 21 Rejab 1442H, Jumaat – Perjalanan antara negeri mungkin dibenarkan selepas 18 Mac jika jumlah kes COVID-19 baharu menunjukkan tanda penurunan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, kementeriannya akan mengemukakan saranan kepada kerajaan tetapi tidak akan membuka semula sempadan negeri secara menyeluruh.

Katanya, sekatan perjalanan domestik juga telah dikenakan di negara lain seperti Australia, China, Korea Selatan dan Singapura.

“Oleh itu, kami telah memutuskan bahawa tidak akan ada perjalanan antara negeri hingga 18 Mac.

“Selepas 18 Mac, kami akan melihat sama ada data menunjukkan peningkatan kerana kami telah berjaya meratakan lengkung buat masa ini,” katanya kepada sebuah portal berita.

Dr Adham berkata, kerajaan telah belajar sejak setahun lalu apabila mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelbagai tahap yang lain seperti PKP yang diperketatkan, bersyarat dan pemulihan.

“Kami tahu bahawa sekatan perjalanan antara negeri adalah salah satu langkah yang diperlukan untuk mengurangkan jumlah kes,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini mengatakan larangan perjalanan antara negeri kemungkinan akan berlanjutan sehingga sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk diberi vaksin.

Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa perjalanan antara daerah dibenarkan kecuali di Sabah mulai hari ini.

Dr Adham juga mengatakan bahawa sekatan perjalanan adalah langkah maksimum yang paling ketat yang dikenakan, tetapi kerajaan berbuat demikian untuk menyeimbangkan kehidupan dan mata pencarian.

“Kami akan mengambil langkah-langkah untuk membenarkan perjalanan antara negeri berdasarkan kepada perkara-perkara tertentu. Ini sangat penting. Kami akan berusaha mengembangkan zon hijau untuk membolehkan perjalanan antara negeri di bawah PKPP.

“Kami akan memastikan bahawa jika orang ramai dapat mematuhi SOP, mereka boleh meneruskannya. Sekiranya mereka menggunakan MySejahtera, mereka dapat mengetahui dan mengenal pasti zon merah,” katanya.

Beliau berkata, rakyat yang ingin melancong juga mesti sedar sama ada kawasan yang ingin dikunjungi dikategorikan sebagai zon hijau, kuning, oren atau merah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button