Berita UtamaDunia

Sudan terima 828,000 dos vaksin, mula suntik minggu depan

Utamakan pekerja kesihatan, diikuti individu alami penyakit kronik

KHARTOUM, 21 Rejab 1442H, Jumaat – Sudan akan memulakan program vaksinasi kepada pekerja kesihatan diikuti individu berusia 45 tahun ke atas, yang mempunyai tahap kesihatan kronik secara percuma minggu hadapan.

Negara itu menjadi yang pertama di Timur Tengah dan Afrika Utara – mendapat manfaat daripada vaksin COVAX – antara inisiatif antarabangsa dipimpin Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan rakan-rakannya untuk memastikan akses vaksin COVID-19 yang adil dan berkesan di seluruh dunia.

Sudan menerima 828,000 dos vaksin dibangunkan oleh AstraZeneca di lapangan terbang Khartoum pada Rabu.

Negara itu dijangka akan menerima baki 3.4 juta dos vaksin melalui COVAX pada suku kedua tahun ini.

Menteri Kesihatan Omer Elnageib berkata, ia merangkumi 20 peratus penduduknya yang berjumlah 44 juta melalui COVAX pada September.

“Ini adalah bahagian penting dalam pertempuran kita melawan Coronavirus,” katanya.

Elnageib berkata, Sudan juga sedang dalam perbincangan awal menghasilkan vaksin di negara itu.

Menurut statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sudan mempunyai hanya sekitar 4 peratus penduduknya yang berusia lebih dari 65 tahun.

Negara itu telah mengalami krisis ekonomi yang panjang, yang menyebabkannya tidak dapat mengimport ubat-ubatan asas, selain sistem rawatan kesihatannya tidak diselenggara.

Malah, Sudan turut dikenakan sekatan selama beberapa dekad di bawah bekas Presiden Omar Al-Bashir sebelum penggulingannya pada 2019.

Sehingga 1 Mac, Sudan secara rasmi mencatat 28,545 kes COVID-19, dengan 1,895 kematian sejak wabak itu ditemui setahun lalu. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button