Berita Utama

Syarikat kes rasuah Zahid tak jalan perniagaan tapi duit keluar masuk: Saksi

'Saya dapati keluar masuk akaun terlalu aktif, dengan jumlah agak besar'

KUALA LUMPUR, 21 Rejab 1442H, Jumaat – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, bahawa terdapat pengeluaran dan kemasukan wang yang agak besar di dalam sebuah syarikat yang didakwa terlibat dalam kes rasuah membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, walaupun tiada aktiviti perniagaan dijalankan oleh syarikat itu.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Zamri Abdul Rashid, 36, berkata hasil siasatannya, syarikat Berani & Jujur Trading, yang berdaftar di sebuah unit apartment, tidak menjalankan apa-apa perniagaan dan tidak mempunyai pekerja.

“Daripada penilaian kewangan, saya dapati keluar masuk akaun (duit) terlalu aktif, dengan jumlah yang agak besar. Merujuk kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, syarikat ini terlibat dalam perniagaan pertanian dan jualan kain.

“Hasil siasatan juga mendapati tidak wujud aktiviti perniagaan itu (perniagaan kain) semasa penggeledahan dijalankan di premis tersebut (apartment),” katanya ketika menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi.

Beliau berkata demikian pada hari ke-47 perbicaraan kes bekas timbalan perdana menteri itu yang menghadapi pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, melibatkan jutaan ringgit daripada dana Yayasan Akalbudi.

Saksi pendakwaan ke-92 itu berkata, siasatannya mendapati dua lagi syarikat yang turut didakwa terlibat dalam kes rasuah Ahmad Zahid iaitu Jogabonito Jewellery & Diamonds, dan Mastoro Kenny IT Consultant & Services, masing-masing berdaftar di sebuah unit apartment dan kedua-dua syarikat itu juga tidak menjalankan apa-apa perniagaan.

Mengikut pertuduhan ke-11, 12 dan 13, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services iaitu satu cek bernilai RM250,000 milik syarikat Jogabonito Jewellery & Diamonds, 13 cek bernilai RM8 juta milik Mastoro dan 10 cek bernilai RM5 juta milik Berani & Jujur Trading.

Kesemua cek tersebut diperoleh tertuduh melalui Junaith Asharab Md Shariff, menggunakan akaun Maybank milik Lewis & Co sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri melakukan suatu transaksi yang dicadangkan berlaku, iaitu akan membantu syarikat Mastoro mendapatkan projek-projek MyEG di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa Tetuan Lewis & Co merupakan pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid.

Terdahulu, ditanya Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali, mengapa Mohd Zamri tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa siasatannya terhadap tiga syarikat berkenaan berat sebelah, kerana siasatan masih diteruskan selepas tertuduh didakwa di mahkamah?

“Saya tidak setuju kerana siasatan bermula sejak Jun 2018 lagi, dan saya telah mengumpul bukti serta fakta yang diperlukan sehingga pertuduhan dibuat.

“Saya yakin siasatan dibuat berdasarkan fakta dan bukti yang diperoleh pada masa tersebut bukan bersifat berat sebelah. Kesemua cek (24 cek) asal dari tiga syarikat berkenaan diperoleh, selepas Ahmad Zahid didakwa kerana bank memerlukan masa untuk memberi cek asal itu dan hanya salinan (cek) diperoleh dahulu,” kata saksi pendakwaan itu.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button