Dunia

PBB gagal capai kata sepakat konflik di Myanmar

Russia, China enggan campur tangan, anggap krisis isu dalaman negara

GENEVA, 22 Rejab 1442H, Sabtu – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) gagal mencapai kata sepakat berhubung isu tindakan keras tentera Myanmar terhadap kumpulan prodemokrasi.

Mesyuarat – badan yang bertanggungjawab memastikan keamanan dan kestabilan antarabangsa – diadakan secara tertutup pada Jumaat tanpa sebarang keputusan akhir meskipun Amerika Syarikat (AS) dan anggota lain menggesa kerjasama untuk menangani krisis itu. 

Terdahulu, Russia dan China – kedua-duanya anggota tetap dengan kuasa veto – menyuarakan pendapat menyokong tidak campur tangan, kerana menganggap insiden mengerikan di Myanmar sebagai urusan dalaman negara. 

Wakil khas PBB untuk Myanmar, Christine Schraner Burgener dalam sesi tertutup menggesa negara-negara anggota bertindak, selain memberi amaran terhadap konflik di negara itu.

“Saya mendengar keluhan dan rasa putus asa rakyat – terdiri pelajar, wanita dan warga emas – setiap hari supaya tindakan antarabangsa diambil untuk mengatasi serangan kepada hak rakyat Myanmar dan prinsip demokrasi,” katanya. 

Konflik di Myanmar tercetus apabila tentera merampas kuasa pemerintahan pada 1 Februari lalu, dan menggulingkan pemerintah yang dipilih melalui demokrasi Aung San Suu Kyi.

Susulan itu, protes besar-besaran diadakan di seluruh negara sehingga menyebabkan tindakan keras pihak tentera, yang mengakibatkan lebih 60 maut dan 1,000 yang lain ditangkap. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button