Berita Utama

PM bertolak ke Arab Saudi hari ini untuk lawatan rasmi

Lawatan adalah bagi memenuhi jemputan Raja Arab Saudi

KUALA LUMPUR, 22 Rejab 1442H, Sabtu – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berlepas ke Arab Saudi untuk lawatan rasmi sulung beliau ke Asia Barat.

Muhyiddin, dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau berkata lawatan itu adalah bagi memenuhi jemputan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, yang juga penjaga dua masjid suci.

“Insya-Allah, saya akan menunaikan umrah di tanah suci Makkah dan melakukan ziarah di Madinah terlebih dahulu sebelum memulakan program rasmi di Istana Al-Yamamah di Riyadh, pada 9 Mac ini.

“Selain menghadap Raja Salman, saya dijadual mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud, yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata lawatannya itu cukup signifikan kerana antara lain akan membincangkan pelbagai usaha untuk memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka kerjasama baharu dalam bidang perdagangan, pelaburan dan hal ehwal Islam yang mampu melonjakkan hubungan baik sedia ada ke tahap yang lebih tinggi.

Katanya perihal mengenai kuota haji dan urusan umrah juga tidak ketinggalan akan dibincangkan pada pertemuan itu kelak.

“Dari Arab Saudi, Insya-Allah saya akan terus ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) untuk bertemu Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button