Berita Utama

Sukar untuk UMNO menang PRU15 secara sendirian

Mungkin tak boleh kekal kerusi sedia ada kerana pertembungan sengit dengan Bersatu

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 22 Rejab 1442H, Sabtu – Melihat senario politik negara hari ini, agak sukar untuk UMNO memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara bersendirian.

Meskipun parti Melayu terbesar itu mempunyai sokongan kukuh di kerusi-kerusi sedia ada atau mungkin lebih untuk PRU akan datang, UMNO kemungkinan masih belum mampu menubuhkan kerajaan secara sendirian tanpa sokongan parti-parti lain.

Penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, senario yang berlaku kebelakangan ini adalah sesuatu yang agak menarik di antara UMNO dan Perikatan Nasional (PN), khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“PN akan bertanding di kawasan-kawasan UMNO atas dasar tiada kerjasama antara dua parti itu khususnya Bersatu.

“Dalam keadaan tersebut, pertandingan  akan menjadi sengit kerana kerajaan semasa yang diketuai oleh Bersatu pasti akan menggunakan sumber-sumber mereka sepenuhnya untuk memenangi kerusi itu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Oleh itu, Prof Nik Ahmad menjangkakan kemungkinan UMNO tidak dapat mengekalkan kesemua kerusi yang dimenangi mereka pada PRU14 lalu.

Beliau melihat bahawa PAS adalah faktor yang sangat relevan dalam isu kerjasama politik itu.

“Saya melihat PAS sebagai penentu dalam banyak hal. PAS akan terus bersama UMNO dan Muafakat Nasional dan pada masa sama akan bersama Bersatu dalam PN.

“Persoalannya, adakah PAS akan berkompromi kepada UMNO dan Bersatu dalam pengagihan kerusi nanti? 

“Kalau betul maka PAS akan terpaksa menyerah kerusi kepada dua parti lain, UMNO dan Bersatu. Ini mungkin sukar untuk PAS,” katanya.

Sebelum ini, UMNO memutuskan untuk tidak menjalin sebarang kerjasama dengan Bersatu pada PRU15, dan hanya bersama kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan.

Keputusan itu dibuat UMNO selepas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta parti berkenaan menyatakan pendirian jelas kedudukan kerjasama sebelum rundingan pengagihan kerusi diteruskan untuk PRU15.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button