Berita Utama

UMNO, Bersatu perlu muafakat demi politik orang Melayu

Parti perlu ada jiwa bekerjasama, memajukan negara bersama

JELEBU, 22 Rejab 1442H, Sabtu – UMNO dan Bersatu perlu bermuafakat demi masa depan dan pemegangan politik kepada orang Melayu, kata tokoh politik veteran Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata hubungan antara kedua-dua parti tidak boleh ‘berpatah arang’ begitu sahaja selain turut meletakkan harapan agar UMNO dan Bersatu akan terus kembali mengadakan kerjasama.

“UMNO sahaja tidak boleh berkuasa dan Bersatu sahaja pun tidak boleh berkuasa waima dengan PAS (perlu kerjasama). Komponen parti Melayu ini mesti sedar pentingnya bermuafakat,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada penduduk di Kampung Geylang di sini hari ini.

Ketua Bersatu Bahagian Jelebu itu berkata setiap parti perlu ada jiwa bekerjasama dan memajukan negara bersama selain berpendapat mana-mana orang Melayu yang tidak rela bekerjasama, kedudukan kebangsaannya boleh dipersoal.

Rais, yang juga Yang Dipertua Dewan Negara, turut berpandangan semua pihak perlu menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong dengan peranan Perdana Menteri susulan terdapat desakan demi desakan supaya Parlimen kembali bersidang.

“Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak (masing-masing), itu tidak boleh diubah, penentuan situasi itu terserah kepada Perdana Menteri membawa sembah kepada Agong, kalau ada apa-apa yang mahu dipinda,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button