Berita Utama

BERJASA mahu jadi parti utama ganti UMNO

Rakyat sudah celik, tolak parti dipenuhi kluster mahkamah: Tok Badh

BANGI, 23 Rejab 1442H, Ahad – Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (BERJASA) merancang untuk menjadi parti utama dalam persada politik tanah air.

Presidennya, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, BERJASA bukan sekadar hendak menggantikan UMNO, tetapi matlamat parti adalah untuk menjadikan masa depan negara yang lebih baik, demi kepentingan rakyat dan mengambil kira untung rugi Melayu Islam.

Katanya, rakyat tidak lagi mahu meletakkan harapan kepada sebuah parti yang mana dipenuhi oleh ‘kluster mahkamah’.

“Adakah rakyat nak letakkan harapan mereka dalam kluster mahkamah ini. Dengan bekas presidennya didapati bersalah, bekas timbalan presiden, setiausaha agung, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang ada kes mahkamah. 

“Rakyat lebih celik dan matang. Jika kita tak sedar perkara ini, kita cuma menipu diri sendiri. Kalau keadaan ini berterusan di mana situasi yang kita punyai pemimpin yang tidak fikir pasal rakyat.

“….hanya semata-mata fikir dia punya kuasa, fikir dia pernah menjadi parti yang besar. Kita nampak tiada kesudahan,” katanya dalam wawancara eksklusif TV Pertiwi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika UMNO memikirkan tentang rakyat, mereka sepatutnya menjalankan reformasi parti sejak dahulu lagi. 

Reformasi itu adalah supaya UMNO dapat dilihat sebagai parti yang boleh rakyat memberi kepercayaan, katanya. 

“Ini tidak, dia putuskan pula kerjasama dengan Bersatu. UMNO duduk di dalam satu mimpi bila dah tak kerjasama dengan Bersatu. 

“Mereka masih bernostalgia, sedangkan rakyat mahu satu pimpinan baru, bersih dan bebas dari penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Justeru, Dr Badhrulhisham atau lebih mesra panggilan Tok Badh berkata, di sini adalah peluang di mana rakyat boleh mencari alternatif baharu – antaranya adalah BERJASA.

“BERJASA tawar kepimpinan kepada rakyat yang kami yakin boleh bawa negara ke masa depan yang lebih penting lagi,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button