Ketua Eksekutif Pfizer tangguh lawatan ke Israel
Netanyahu didakwa akan perguna lawatan Pfizer untuk raih sokongan

WASHINGTON, 23 Rejab 1442H, Ahad – Ketua syarikat farmasi multinasional Amerika, Pfizer membatalkan lawatannya ke negara haram Israel yang sepatutnya dijadualkan minggu depan.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla memberitahu, lawatan ke Israel ditangguhkan atas alasan beliau dan delegasinya belum sepenuhnya diimunisasi COVID-19.
Pfizer pada hari Khamis mengesahkan lawatan yang dirancang telah ditunda selama beberapa hari, namun selepas ditekan untuk mengesahkan alasan membatalkan lawatan, pihaknya menolak untuk memberikan komen.
Albert Bourla sepatutnya tiba di Israel pada 8 Mac, hanya 15 hari sebelum pilihan raya pada 23 Mac, sementara Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bergelut untuk mendapatkan sokongan majoriti.
Aktivis Israel bagaimanapun mendesak supaya lawatan Bourla dibatalkan, kerana menyifatkan ia sebagai ‘propaganda pilihan raya yang dilarang’.
Mereka bimbang lawatan itu akan digunakan oleh Perdana Menteri untuk kepentingan peribadinya pada pemilihan akan datang.
Netanyahu dilaporkan memuji hubungan peribadinya dengan Bourla dan menganggap ia sebagai alasan utama mengapa Israel memperoleh sejumlah besar vaksin Pfizer-BioNTech coronavirus. – Agensi