Berita Utama

Pemandu mabuk cuba elak ditahan terbabas

Ujian saringan alkohol dapati kandungan melebihi had dibenarkan

BUTTERWORTH, 23 Rejab 1442H, Ahad – Tindakan seorang pemandu mabuk yang cuba mengelak ditahan ‘gagal’, selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar sebuah kenderaan lain yang diparkir di tepi jalan di Taman Robina, Teluk Air Tawar.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berlaku ketika anggotanya menjalankan sekatan jalan raya di Kilometer 10.8 Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) menerusi Op Mabuk.

Dalam operasi itu, katanya, polis mengesan seorang pemandu kereta Mini Cooper berada dalam keadaan mencurigakan dan cuba menahan kenderaan terbabit.

Bagaimanapun, katanya, dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, suspek berusia 48 tahun memecut laju kenderaannya, dalam usaha meloloskan diri.

“Anggota kemudian mengejar kereta suspek, sebelum mendapati kenderaan itu terbabas ketika di Taman Robina dan melanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang diparkir di tepi jalan.

“Pemandu itu sekali lagi cuba melarikan diri tetapi dia berjaya dicekup dan ujian saringan alkohol menggunakan alat SD2+ dan EBA-II mendapati kandungan melebihi had dibenarkan iaitu masing-masing 271 mg/100 ml dan 150 mg/100 ml,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Difahamkan, suspek memecut kereta dipandunya sejauh kira-kira lima kilometer sebelum terbabas.

Beliau berkata, selain lelaki itu, polis turut menahan seorang lagi lelaki berusia 25 tahun selepas didapati menunggang motosikal dalam keadaan mabuk dalam operasi berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button