Dunia

Penunjuk perasaan antikerajaan kembali ke jalanan

Ulang tuntutan supaya perubahan politik dilakukan

BANGKOK, 23 Rejab 1442H, Ahad — Penunjuk perasaan antikerajaan kembali turun ke jalanan pada Sabtu, sekali gus mengingkari perintah baharu yang melarang perhimpunan awam di Bangkok dan wilayah berhampiran.

Mereka berkumpul di tiga lokasi pada sebelah petang dan mengulangi tuntutan agar perubahan politik dilakukan termasuk pengunduran Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha, pembubaran Parlimen, pindaan Perlembagaan serta reformasi monarki.

Selain itu, mereka menggesa pihak berkuasa berkaitan membebaskan empat pemimpin tunjuk perasaan yang didakwa mengikut Seksyen 112 Kanun Keseksaan negara itu, yang turut dikenali sebagai lèse-majesté kerana menghina monarki dalam demonstrasi tahun lepas serta pemansuhan Seksyen 112 Kanun Jenayah.

Pengumuman baharu yang melarang perhimpunan awam itu disiarkan dalam Warta Diraja pada Jumaat dengan menamakan enam wilayah iaitu Bangkok, Samut Prakan, Samut Songkhram, Nonthaburi, Nakhon Pathom dan Pathum Thani.

Mereka yang melanggar perintah itu berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun dan/atau denda 40,000 baht.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button