Berita Utama

UMNO dijangka hadapi ‘perang saudara’?

Tak lagi jadi kerajaan mungkin faktor utama perpecahan parti

BANGI, 23 Rejab 1442H, Ahad – UMNO dijangka menghadapi ‘perang saudara’ susulan pendirian parti itu yang tidak akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, ada kebarangkalian ‘perang saudara’ UMNO akan menjadi lebih besar sekiranya pemilihan parti diadakan dalam masa terdekat ini.

Dalam isu ini, beliau yang juga Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains dan Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak menolak kemungkinan punca utama perpecahan dalam parti itu adalah kerana tidak lagi menjadi kerajaan.

“Bila tidak lagi jadi kerajaan seperti mana dalam budaya kepimpinan UMNO dahulu, yang menjadi pimpinan tertinggi parti itu adalah orang yang menjadi pemimpin dalam kerajaan.

“Tapi apa yang berlaku sekarang ini kebanyakan pimpinan tertinggi parti seperti Presiden, Timbalan Presiden tidak menjadi ahli Kabinet.

“Kalaulah jawatan Timbalan Perdana Menteri diwujudkan dan diberikan kepada presiden (UMNO), barangkali ini tidak menyumbang kepada permasalahan yang ada,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Sebelum ini, UMNO memutuskan untuk tidak menjalin sebarang kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU15, dan hanya bersama kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan.

Keputusan itu dibuat UMNO selepas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta parti berkenaan menyatakan pendirian jelas kedudukan kerjasama sebelum rundingan pengagihan kerusi diteruskan untuk PRU15.

Bersatu pula membuat keputusan untuk memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam PN iaitu PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button