Berita Utama

YouTuber antara 12 ditahan kes gaduh

Mereka direman sehari, kes disiasat ikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan

SUBANG JAYA, 23 Rejab 1442H, Ahad – Seorang YouTuber antara 12 individu yang ditahan pihak polis kerana disyaki terbabit dalam satu pergaduhan di sebuah gelanggang futsal di Taman Perindustrian Subang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan polis dari Cawangan Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Subang Jaya susulan laporan yang diterima di sekitar Jalan Persiaran Kewajipan, USJ 8, Subang Jaya.

Katanya, kesemua tangkapan dibuat kira-kira jam 1.30 pagi tadi menerusi dua serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang.

“Tangkapan pertama dibuat kira-kira jam 1.30 pagi melibatkan tujuh lelaki tempatan berusia 18 hingga 28 tahun dan tangkapan kedua pula pada pukul 1.50 pagi melibatkan lima lelaki berusia awal 20-an,” katanya seperti dilapor Kosmo, hari ini.

Susulan itu, Abdul Khalid berkata, siasatan berhubung kejadian sedang dilakukan.

“Mereka direman selama sehari oleh mahkamah bagi memberi ruang siasatan dijalankan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, tular video memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh termasuk seorang YouTuber bergaduh di gelanggang futsal berkenaan susulan satu perselisihan faham.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 malam itu, seorang lelaki mendakwa telah diserang oleh sekumpulan lelaki lain termasuk YouTuber berkenaan hingga mengalami kecederaan teruk pada muka serta badan.

Menurut mangsa yang membuat laporan, pergaduhan tersebut tercetus selepas dia meleraikan pergaduhan antara dua individu ketika berada di gelanggang futsal.

Beberapa minit kemudian, salah seorang yang terlibat dalam pergaduhan itu didakwa datang semula bersama beberapa individu lain sebelum memukul mangsa hingga cedera.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button