Berita UtamaDunia

15 maut letupan dinamit di kem tentera Equatorial Guinea

Sekurang-kurangnya 500 cedera dalam siri letupan kuat

CONAKRY, 24 Rejab 1442H, Isnin – Sekurang-kurangnya 15 maut manakala ratusan lagi cedera dalam siri letupan kuat di sebuah pangkalan tentera di bandar Bata, Equatorial Guinea.

Dalam satu kenyataan di televisyen kebangsaan, Presiden Teodoro Obiang berkata, letupan pada Ahad tercetus akibat kecuaian yang berkaitan dengan penggunaan dinamit di pangkalan tentera.

Tidak ada maklumat lain yang tersedia dengan segera.

Obiang – yang memerintah Equatorial Guinea sejak 1942 – berkata, sekurang-kurangnya 500 cedera dalam letupan itu.

Kenyataannya dikeluarkan kira-kira dua jam selepas Kementerian Kesihatan berkata di Twitter bahawa 17 orang setakat ini disahkan meninggal dunia, sementara jumlah yang cedera adalah 420 orang.

Trak pengangkut dipenuhi dengan mangsa yang terselamat – kebanyakannya kanak-kanak – dipandu ke hadapan hospital tempatan di mana beberapa mangsa dirakamkan terbaring di lantai.

Di kawasan letupan, bumbung besi tercabut dari rumah-rumah yang separuh musnah dan terbalik di tengah runtuhan.

Hanya dinding sahaja yang kekal di kebanyakan rumah.

“Kami mendengar letupan dan melihat asap, tetapi kami tidak tahu apa yang berlaku,” kata seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Teodoro Nguema kepada agensi berita AFP melalui telefon. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button