1,500 pelbagai kerja kosong menjadi rebutan di Perak
Maklumat lanjut boleh didapati di laman https://perakpasak.org/

GERIK, 24 Rejab 1442H, Isnin – Sebanyak 1,500 peluang pekerjaan baharu terdapat di negeri ini untuk diisi mereka yang diberhentikan kerja dan pencari kerja yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak Ahmad Saidi Mohammad Daud berkata Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) mendapati kekosongan itu boleh disi oleh mereka yang diberhentikan kerja akibat penutupan kilang dan mereka yang sedang mencari pelbagai pekerjaan.
Katanya, maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang Pasak https://perakpasak.org/ dan peluang itu terbuka dalam pelbagai industri pekerjaan ekoran pandemik COVID-19 hingga berlakunya masalah pengangguran yang tinggi dan penutupan beberapa sektor atau industri.
“Kerajaan negeri memikirkan langkah terbaik dan peluang pekerjaan mesti ada dengan mengadakan program latihan dalam meningkatkan kemahiran kendiri,” katanya selepas masmikan Program Transformasi Pekerja Hotel di Belum Rainforest Resort (BRR) di Banding dekat sini hari ini.
Seramai 42 pekerja BRR menyertai kursus empat hari anjuran Pasak dan Jawatankuasa TVET serta BBR itu dan menurut Ahmad Saidi kursus terbabit bertujuan meningkatkan kemahiran pekerja agar terus berjaya di pasaran pekerjaan.
Jelasnya, kerajaan negeri juga akan mengadakan kursus yang sama selepas ini kepada pekerja industri chalet dan hotel agar terus dilengkapkan dengan kemahiran dan pengalaman menghadapi dunia pekerjaan masing-masing.
Sementara itu Ahmad Saidi berkata beberapa pekerja Silverstone yang akan diberhentikan apabila kilang tayar di Kamunting, Taiping ditutup akan diserapkan di kilang ToyoTires Malaysia (TTM).
Beliau berkata pihak pengurusan Toyo Tires bersetuju untuk menyerapkan pekerja ke kilang tersebut memandangkan kini sesi temu duga sedang giat dijalankan.
Dilaporkan, kilang tayar Silverstone di Kamunting, Taiping akan ditutup pada Jun ini menyebabkan lebih 900 pekerja bakal diberhentikan. – Bernama