Artikel Khas

Sugarbook: Mana suara feminis?

Aplikasi pelacuran moden eskploitasi wanita, wajib haramkan!

SAYA belum terbaca atau terserempak dengan sebarang komen dan respon berkenaan aplikasi jijik Sugarbook dari mana-mana pihak yang mengaku atau berlagak feminis.

Ternanti-nanti juga jika ada suara feminis yang mungkin tidak berpuas hati atau mengutuk aplikasi yang menjadi sarang baru pelacuran versi moden ini.

Mungkin pihak yang mengangkat diri mereka sebagai pejuang wanita ini ada bersuara dan menggesa agar aplikasi ini dihapuskan.

Namun, tiada lagi buat masa ini. Mengapa kumpulan yang mengaku memperjuangkan hak asasi wanita ini hanya diam seribu bahasa?

Tidakkah mereka sedar bahawa apa yang sedang berlaku melibatkan isu eksploitasi wanita!

Baru-baru ini, aplikasi persundalan itu telah mendedahkan sendiri bahawa ia mempunyai lebih 400,000 keahlian dengan 220,000 daripadanya Sugar Baby dan 180,000 Sugar Daddy.

Malah terdapat kira-kira 6,000 wanita yang menawarkan diri menjadi Sugar Mummy.
Aplikasi itu turut mengakui kebanyakan Sugar Baby dari Malaysia terdiri daripada pelajar institut pengajian tinggi.

Golongan wanita terutamanya telah diambil kesempatan dan dipergunakan. Wanita yang terdesak telah menyerahkan kehormatan mereka dan pihak yang durjana ini telah mengaut keuntungan daripada kesempitan hidup para wanita.

Tambahan lagi dalam situasi pandemik ini, ada wanita yang cuba mengambil jalan pintas untuk mendapatkan wang daripada Sugar Daddy.

Jelas lagi nyata bahawa wang yang dihulurkan bukanlah percuma. Ada kehormatan diri yang perlu diserahkan bersama.

Tiada wanita yang sepatutnya menjual diri dan maruah demi sesuap nasi untuk meneruskan kehidupan.

Mereka perlu diselamatkan!

Sugarbook WAJIB diharamkan!

Aplikasi ini juga perlu dihapuskan secara total kerana telah merendahkan martabat dan menjatuhkan maruah wanita.

Tidak kira jika wanita yang terlibat itu adalah seorang muslimah atau wanita beragama selain Islam.

Semua wanita sepatutnya dilindungi dan dihormati. Bukan dipergunakan dan dijadikan seperti objek dan barang dagangan. Apatah lagi menjadi hamba seks dan pemuas nafsu lelaki.

Setelah banyak pihak yang heboh mengutuk aplikasi ini, pengasasnya seboleh-bolehnya ingin menghilangkan ‘stigma’ masyarakat dan memperlihatkan bahawa aplikasinya itu begitu suci murni kerana telah berjasa menyelamatkan golongan yang memerlukan bantuan.

Bahkan kata pengasasnya, ada seorang ibu tunggal yang tampil menyatakan ‘kesyukuran’ kerana memperoleh wang sebanyak RM1000 setiap minggu, hasil pemberian ‘Sugar Daddy’ nya.

Bukan setakat itu sahaja, ibu ini turut menerima biaya simpanan pendidikan bagi anaknya.
Pengasas aplikasi ini turut berterima kasih kepada ‘Sugar Daddy’ yang mengambil bahagian dalam menghulurkan bantuan kepada ibu tunggal tersebut.

Imej yang mulia dan tulus cuba dipamerkan dari sudut pandang Sugar Daddy yang dermawan. Sedangkan realitinya, si ibu tersebut perlu menyerahkan dirinya untuk diperlakukan apa sahaja sebagai imbalan dari wang yang diterima.

There’s no such thing as free money.

Sugarbook juga hakikatnya bukanlah badan kebajikan yang ikhlas menghulurkan bantuan. Ia satu bentuk atau mekanisme pelacuran dan persundalan moden yang mengaut keuntungan.

Aplikasi ‘dating platform’ ini bertindak sebagai orang tengah dan pengendali serta pengasasnya layak digelar bapa ayam yang keji.

Tidakkah pengasas Sugarbook ini mengetahui akan kedudukan dan kemuliaan seorang wanita?
Tidak pernahkah mereka diajar sejak kecil tentang konsep ‘respect’ dan hormat kepada golongan wanita?

Apakah perasaan mereka jika Sugar Baby itu adalah ibu, isteri, anak perempuan atau adik perempuan mereka? Manakala Sugar Daddy itu pula adalah dari kalangan ayah, abang, adik lelaki atau bapa saudara mereka sendiri?

Tidakkah mereka sedar juga bahawa dengan mensasarkan ibu tunggal, janda dan wanita yang memerlukan bantuan, mereka telah memperlekehkan kekuatan wanita untuk bekerja dan berdikari?

Terlalu banyak lagi kerjaya lain yang boleh diceburi oleh para wanita untuk mencari rezeki demi meneruskan kehidupan.

Menjadi Sugar Baby adalah satu saranan yang merendahkan kemampuan kaum wanita kerana menganggap kaum wanita adalah golongan yang lemah dan hanya perlu bergantung harap dengan lelaki yang bergelar Sugar Daddy.

Wanita yang bijak dan matang dapat berfikir dan bertindak dengan waras. Mereka sama sekali tidak akan mengambil jalan singkat untuk hidup senang dengan menjual diri. Namun, ada wanita muda yang naif dan terjebak dalam kancah ini sama ada secara rela atau terpaksa.

Sangat menyedihkan apabila ada hujah feminisme yang menyatakan bahawa wanita berhak dan bebas untuk memilih apa sahaja profesyen atau kerjaya termasuklah menjadi Sugar Baby.

Sekali lagi imej Sugar Baby ini cuba dimurnikan dengan menganggap ia sebagai satu pekerjaan. Sedangkan mereka menggalakkan para wanita terjebak ke lembah zina dan pelacuran yang dimurkai Allah.

Tidakkah para feminis sedar bahawa wanita telah dijadikan bahan eksploitasi? Hilang maruah seorang wanita apabila ia menyerahkan dirinya untuk menjadi pemuas nafsu lelaki. Tidakkah para feminis memiliki prinsip dan nilai moral?

Keadaan penuh hipokrasi yang sama dapat dilihat dalam isu pemakaian tudung atau hijab. Kebanyakan para feminis melihat tudung sebagai simbol pemaksaan ke atas tubuh wanita. Menurut mereka, seorang wanita harus berhak menentukan bagaimana dia mahu berpakaian tanpa dipaksa.

Namun, ketika mana ada segelintir wanita yang ditindas kerana tidak dibenarkan memakai tudung di tempat kerja, sedangkan memakai tudung itu adalah kehendak dan pilihan mereka sendiri, golongan feminis hanya diam membisu tanpa mengambil bahagian dalam memperjuangkan hak wanita bertudung.

Mereka tidak layak digelar pejuang hak wanita kerana pilih kasih dalam menentukan siapakah wanita yang perlu dibela.

Inilah yang disebut sebagai double standard. Munafik. Talam dua muka. Di manakah perginya juga slogan ‘Women Empowerment’ yang sentiasa dicanang-canangkan para feminis?

Mengapa seorang wanita perlu bergantung hidup dengan lelaki Sugar Daddy dan dalam masa yang sama menyerahkan kehormatan?

Bukankah wanita harus bersikap berdikari dan cekal? Bukankah mereka para feminis selalu mendendangkan kata-kata “Kami Tidak Memerlukan Lelaki”, tetapi tiada pula sebarang ulasan jika seorang Sugar Baby bergantung hidup dengan Sugar Daddy nya?

Penuh dengan hipokrasi.

Menjadi Sugar Baby sama sekali tidak menepati slogan ‘Women Empowerment’ kerana tidak wujud sama sekali istilah pemerkasaan dan pemerdayaan wanita jika wanita tiada daya, kuasa dan hak untuk mempertahan maruah diri mereka sendiri.

Mungkin para feminis hanya akan merasa terpukul jika Sugar Daddy itu adalah suami mereka sendiri yang curang kepada mereka atau ayah-ayah mereka yang berhidung belang dan mengambil kesempatan terhadap naifnya wanita muda.

Mungkin mereka hanya akan bersuara suatu masa nanti jika perkara ini berlaku dan menjejaskan hak mereka.

Sepatutnya para feminis lebih lantang menutup semua jalan yang menjadikan wanita sebagai objek seksual termasuklah mengharamkan pelacuran dalam bentuk Sugarbook ini.

Tambahan lagi aplikasi yang membawa kepada hubungan zina dan perlakuan seks bebas ini bertentangan dengan nilai semua agama dan budaya kita di Malaysia.

Dalam Islam, zina adalah kehinaan dan seburuk-seburuk perkara. Allah SWT berfirman, “Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk”. [Surah Al-Isra’: 32].

Sugarbook adalah normalisasi zina. Menjadi Sugar Baby dan Sugar Daddy adalah jalan mendekati zina dan sekiranya hubungan zina berlaku, ia mendatangkan pelbagai keburukan.
Ulasan saya berkenaan kesan buruk aplikasi Sugarbook ini telah saya tulis sekitar dua tahun yang lalu. Artikel tersebut boleh dibaca di sini:

http://muis.org.my/…/sugarbook-merendahkan-martabat…/…

Wanita yang menjadi Sugar Baby hanya dianggap sebagai tempat persinggahan. Mereka tidak diambil sebagai teman hidup yang sah, disayangi dengan sepenuh jiwa dan dihormati. Mereka hanya dipergunakan dan diambil kesempatan.

Sedangkan Islam telah mengangkat tinggi kedudukan wanita. Wanita dalam Islam adalah anak perempuan dan ibu yang wajib dimuliakan serta disayangi.

Dia juga adalah isteri yang diambil dengan sah melalui pernikahan dan dipelihara haknya.
Wanita bukanlah teman wanita tanpa apa-apa ikatan, apatah lagi menjadi perempuan simpanan yang boleh digunapakai sesuka hati ketika diingini.

Buat para wanita di luar sana, sesukar mana pun kehidupanmu, jangan sesekali menggadaikan maruah diri.

Jika kelaparan atau kebuluran, carilah makanan. Bukan mencari Sugar Daddy.
Jika kesesakan atau kehabisan wang, carilah wang melalui pekerjaan yang halal, bukan dengan cara menjadi Sugar Baby.

Menebalkan muka dengan meminta atau merayu bantuan adalah lebih bermaruah daripada menyerahkan diri kepada lelaki yang hanya ingin mengambil kesempatan atas kesempitan.
Kepada para feminis, prinsip anda sangat mengelirukan.

Wanita tidak memerlukan anda lagi untuk memperjuangkan hak atau mendapatkan pembelaan.
Wanita telah sedia mulia dan dihormati dengan prinsip dan ajaran dalam Islam.

Justeru, Islamlah pejuang hak asasi wanita yang sebenar.

Ustazah Nur Fatin Halil
Majlis Ulama Isma (MUIS)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button